IPOH – Syarikat peneraju bahan binaan Perancis, Saint-Gobain memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan InvestPerak sekali gus menyaksikan pembesaran operasi pelaburan pihak berkenaan di Perak.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, syarikat peneraju bahan binaan Perancis itu akan melabur lebih RM200 juta menerusi anak syarikatnya, Saint-Gobain Prima Sdn. Bhd. untuk mewujudkan kemudahan pembuatan tercanggih di Taman Perindustrian Kanthan di Chemor.
“Pembesaran pelaburan strategik ini akan meningkatkan kapasiti pengeluaran dengan ketara produk bahan binaan seperti produk papan simen gentian premium syarikat, termasuk PRIMA Flex, PRIMA Plank, PRIMA Liner dan PRIMA Lattice.
“Pelaburan oleh Saint-Gobain ini menunjukkan bagaimana Perak boleh memanfaatkan sumber-sumber asli dan mineral untuk memacu aktiviti ekonomi bernilai tinggi, bukannya hanya mengeksportnya tanpa nilai tambah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Delegasi negeri Perak di Paris, Perancis disambut oleh barisan pengurusan tertinggi Saint-Gobain yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Benoit Bazin dan Ketua Pegawai Eksekutif Saint-Gobain Malaysia & Singapore, Lynette Siow.
Beliau berkata, pelaburan baru bernilai lebih RM200 juta itu membuktikan keyakinan para pelabur kepada negeri ini sebagai destinasi pelaburan utama walaupun dunia ketika ini sedang menghadapi cabaran ketidaktentuan di peringkat global.
Saarani berkata, ia sejajar dengan pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 iaitu Sejahtera Ekonomi dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan perniagaan serta peluang-peluang baharu kepada rakyat tempatan. – KOSMO! ONLINE