KUALA LUMPUR – Seorang penghantar makanan cedera selepas motosikal yang ditunggang bergesel dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Tun Razak menghala ke Jalan Sultan Yahya Petra berhampiran terowong di sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 12.24 tengah hari.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa lelaki berusia 28 tahun menunggang motosikal Yamaha 135LC di lorong kiri sebelum Toyota Estima dipandu lelaki berusia 50 tahun dipercayai memotong di lorong sama.
“MPV tersebut dipercayai bergesel dengan motosikal mangsa menyebabkan motosikal itu terjatuh di atas jalan. Pemandu MPV beredar kerana dipercayai tidak menyedari tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan pada kaki dan tangan, bahu, dan siku di bahagian kanan. Lelaki itu menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur. Pemandu MPV tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kedua-dua individu telah tampil membuat laporan polis,” katanya yang memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambah beliau, antara tindakan susulan yang dijalankan termasuk mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup, merakam percakapan saksi serta pemeriksaan ke atas kenderaan terlibat. – KOSMO! ONLINE














