KUALA LUMPUR – Malaysia sedang mengorak langkah untuk membida hak penganjuran Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia 2026 dengan cadangan menjadikan Kuala Lumpur sebagai venue utama kejohanan membabitkan kategori lelaki dan wanita.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan berkata, perbincangan awal berkaitan hasrat tersebut sudah dimulakan bersama Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf).
“Saya telah berbincang dengan Pemangku Presiden Istaf, Boonchai Lorhpipat serta Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader untuk membawa kejohanan Piala Dunia ke Malaysia secara rasmi,” katanya ketika ditemui selepas aksi Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa, hari ini.
Tambah Sumali, hasrat ini juga selari dengan hasrat Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mahu kejohanan berprestij itu dianjurkan di Kuala Lumpur, selain bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Beliau turut mendedahkan bahawa beberapa negara lain seperti India dan Korea Selatan juga berminat untuk menjadi tuan rumah, sekali gus menjadikan saingan bidaan ini lebih mencabar dan perlu dirancang secara terperinci.
“Jika bidaan ini berjaya, isu berkaitan lokasi, tarikh pertandingan serta penajaan akan menjadi keutamaan. Kita juga sedang meneliti sama ada mahu menggunakan Axiata Arena yang lebih besar atau kekal di Stadium Titiwangsa yang sangat digemari pemain dan peminat,” katanya.
Namun begitu, menurutnya, kapasiti Stadium Titiwangsa menjadi kekangan utama, dan beliau mencadangkan agar ditambah sekitar 1,000 hingga 3,000 tempat duduk bagi menampung jumlah kehadiran penonton yang semakin meningkat.
“Bagi saya, bukan sekadar menjadi tuan rumah, tetapi penting untuk pastikan skuad lelaki dan wanita negara layak ke final. Kita berbelanja besar, maka perlu juga ada pulangan dari segi pencapaian,” jelasnya lagi.
Jika berjaya, Malaysia bakal menjadi tuan rumah kejohanan antarabangsa buat tahun ketiga berturut-turut selapas mengajurkan Piala Dunia pada 2024 yang ketika itu pasukan negara berjaya merangkul dua gelaran iaitu acara regu dan beregu (double). -KOSMO! ONLINE