fbpx
Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan penyanyi Armpunk Sindicate diseret sekumpulan lelaki selepas mengadakan persembahan pentas di Johor Bahru pada Sabtu lalu.

Zed lari masuk dewan sambil mengerang sakit – Pemain drum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Seorang pe­nyanyi ‘lunyai’ dibelasah sekumpulan lelaki dipercayai anggota kumpulan skinhead hanya ke­rana tidak bersalam dan mencium tangan senior dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di sini Sabtu lalu.

Dalam kejadian pada pukul 10.20 malam itu, mangsa, vokalis kumpulan Armpunk Sindicate dikenali sebagai Zed, 23, dibelasah beramai-ramai di hadapan tandas sebelum diseret beberapa meter oleh kumpulan suspek sama.

Tidak cukup dengan itu, salah seorang suspek turut memukul mangsa dengan menggunakan tong sampah aluminium sehingga cedera di kepala dan badan.

Kejadian serangan itu dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi sebelum tular dalam media sosial sejak kelmarin.

Pemain drum Armpunk Sindicate, Elby, 27, berkata, sebelum kejadian, dia bersama ahli yang lain mengadakan persembahan pentas bagi mini konsert di pusat belah-belah berkenaan.

“Acara ‘live band’ bermula pada pukul 2 petang, namun band kami membuat persembahan pada pukul 10 malam.

“Selepas selesai persembahan, Zed pergi ke tandas sebelum ditarik dan dipukul beberapa lelaki dipercayai penonton terdiri daripada kumpulan skinhead.

“Zed dibelasah tanpa belas ihsan termasuk menggunakan tong sampah tanpa sebab yang munasabah. Malah menerusi rakaman CCTV tular, salah seorang daripada mereka dilihat cuba mengeluarkan senjata disyaki buku lima untuk memukul Zed,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Cerita Elby, ketika dibelasah, Zed sempat berlari menyelamatkan diri dengan masuk ke dalam dewan acara sambil mengerang kesakitan.

Kecederaan dialami Zed selepas dibelasah sekumpulan lelaki selepas mengadakan persembahan di Johor Bahru pada Sabtu lalu. (Gambar kanan) Tong sampah yang dipercayai digunakan semasa kejadian.

Katanya, mangsa juga sempat memaklumkan dia telah dipukul dan kejadian tersebut sampai kepada pengetahuan pengurus kumpulan sebelum membuat a­duan kepada penganjur dan diajak berbincang secara baik.

“Semasa berbincang mereka (suspek) beritahu tidak berpuas hati dengan tindakan Zed kerana menendang tin minuman yang dilemparkan penonton ketika kami membuat persembahan.

“Sedangkan Zed berbuat demikian bagi mengelak sebarang kecelakaan sewaktu di pentas.

“Ketika berbincang, mereka seolah-olah sengaja melakukan provokasi bagi mengeruhkan kea­daan, malah cakap tidak berpuas hati kerana Zed tidak salam cium tangan mereka yang dikatakan senior,” katanya.

Elby berkata, Armpunk Sindicate yang ditubuh sejak 2018 mengadakan banyak persembahan di seluruh negara dan kejadian yang menimpa Zed adalah yang pertama berlaku ke atas kumpulan tersebut.

Selain Elby dan Zed, kumpulan muzik itu turut dianggotai oleh Mili dan H.K.

“Sepanjang berada dalam industri muzik tempatan, ini kali pertama ahli kumpulan kami di­serang dan dipukul tanpa alasan munasabah oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

“Ini soal keselamatan, ia tidak boleh dibuat main-main (pandang ringan) kita nak enjoy dengar live band. Kejadian pada malam Sabtu lalu boleh membawa mesej yang tidak sihat dan mengancam keselamatan.

“Kami harap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang membuat kecoh dan menyerang Zed,” katanya.

Elby menambah, Zed kini dilaporkan dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar. Laporan polis berhubung kejadian itu akan dibuat dalam masa terdekat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung kejadian seorang vokalis didakwa dipukul secara beramai-ramai di bandar raya ini minggu lalu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Pihak polis dimaklumkan berhubung kejadian ini semalam (kelmarin) dan memulakan siasatan sejurus laporan dibuat. Kami menggesa mangsa atau mana-mana saksi untuk tampil membuat laporan bagi membantu siasatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN