fbpx
noor azlina (kiri) bersama Mohd. Zarawi (tengah) dan Norman ketika ditemui di Rawang kelmarin.

‘Sudah buat aduan banyak kali, dapat maklum balas selesai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAWANG – Penduduk di Bandar Tasik Puteri, Rawang di sini me­rayu Majlis Perbandaran Sela­yang (MPS) supaya mengambil tindakan segera kerana sudah tidak tahan dengan gangguan anjing liar yang semakin bertambah dan agresif hingga mengancam keselamatan mereka.

Kesemua mereka bimbang sekiranya kejadian yang me­nimpa seorang pelajar remaja yang parah selepas terjatuh longkang akibat dikejar anjing liar berulang.

Ibu kanak-kanak itu, Noor Azlina Abdul Samad berkata, dia trauma setiap kali melihat anjing selepas kejadian yang menimpa anaknya itu.

Katanya, anaknya sudah 10 hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh kerana masih lemah dan belum sedarkan diri sepenuhnya.

“Kami sudah buat aduan ba­nyak kali, tetapi hanya dapat maklum balas selesai walaupun anjing liar masih banyak berkeliaran di sini,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Pada 8 Mei lalu, Kosmo! me­laporkan Muhammad Adeeb Naqiuddin Mohd. Zarawi, 14, parah akibat terjatuh ke dalam longkang selepas dikejar sekumpulan anjing liar ketika balik ke rumah dari Kelas Agama dan Fardu Ain.

Bapa Muhammad Adeeb, Mohd. Zarawi Manaf, 47, turut merayu agar pihak berkuasa menggubal undang-undang lebih tegas bagi menangani ancaman anjing liar.

“Saya harap ada perubahan sebab kami sudah tidak tahan lagi,” katanya.

Norman Mokhsen, 34, pula berkata, anjing liar mengancam keselamatan mereka ketika beriadah terutama yang suka berjo­ging bersendirian.

“Saya sudah empat kali dikejar anjing liar semasa berjoging di kawasan ini. Ia menjejaskan ketenangan saya untuk beriadah. Saya harap MPS dapat bertindak,” katanya.

Afiq Nur Siddiq, 38, berkata, dia pernah membantu MPS menangkap anjing liar, namun apa yang pelik ialah haiwan itu se­perti dapat mengecam lori pihak berkuasa itu.

“Kami pernah membawa anjing liar jauh dari kawasan perumahan untuk mengelakkan pembiakan. Ada juga kes anjing diracun tetapi keadaan jadi rumit bila NGO campur tangan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Majlis MPS, Loo Voon May berkata, pihaknya telah memulakan operasi menangkap anjing liar hingga semalam khususnya pada waktu malam di sekitar Bandar Tasik Puteri.

“Dalam operasi itu, dua ekor anjing berjaya ditangkap di Blok 7. Pemantauan juga dijalankan di dua blok lain. Operasi dijalankan dari pukul 9 malam hingga 1 pagi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN