LONDON – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca melaungkan keyakinan pasukannya akan menguasai ‘pertempuran’ di bahagian tengah padang menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Newcastle United di St. James Park malam ini.
Perlawanan itu boleh dianggap cukup penting buat Chelsea dan lebih besar berbanding final Liga Konferens Europa kerana ia bakal menjadi penentu sama ada mereka akan layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) ataupun tidak musim depan.
Maresca berkata, pemain-pemain tengah termasuk Romeo Lavia yang kembali cergas sepenuhnya mula menyalakan harapan The Blues untuk menamatkan saingan musim ini dalam kelompok lima teratas.
“Sudah tentu sangat penting untuk memulakan perlawanan seperti ini dengan kesebelasan utama terbaik. Kami dapat turunkan pasukan terbaik ketika bertemu Liverpool dan berjaya memenangi perlawanan tersebut.
“Romeo (Lavia) sudah kembali cergas selain prestasi Moises (Caicedo), Enzo (Fernandez) dan Cole (Palmer) cukup baik. Mereka akan beri kelebihan untuk kami di bahagian tengah ketika berdepan Newcastle,” katanya.
Pengendali dari Itali itu turut menyifatkan pasukannya sudah banyak belajar sepanjang saingan musim ini dan sudah menyesuaikan diri sekiranya berdepan pasukan yang agresif serta banyak bertahan.
“Kami sudah berdepan banyak pasukan yang beraksi dengan corak permainan bertahan serta agresif. Saya fikir kami berjaya menghadapi kedua-dua situasi dengan baik dan harap ia dapat membantu kami,” ujar Maresca. – AGENSI