BACHOK – Seorang ibu tunggal buntu untuk mendapatkan sumber kewangan sebanyak RM3,000 menguruskan anak ketiganya yang bakal melanjutkan pengajian ke insitusi pendidikan tinggi awam (IPTA) selepas memperoleh keputusan 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 baru-baru ini.
Hayuzi Mat Zain, 46, berkata, setakat ini, dia belum lagi mempunyai sumber kewangan untuk perbelanjaan Muhammad Syimir Amar Almuktar, 18, ke menara gading.
Katanya, Muhammad Syimir Amar sudah membuat permohonan untuk menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM)
“Dia masih lagi menunggu keputusan tawaran lain di IPTA. Buat sementara waktu, dia banyak membantu saya membuat kuih dan menghantarnya kepada pelanggan yang
membuat tempahan di kawasan sekitar daerah ini.
“Saya memerlukan perbelanjaan sekurang-kurangnya RM3,000 untuk membiayai kos bagi Muhammad Syimir Amar melanjutkan pengajian,” katanya baru-baru ini.
Hayuzi berkata, hasil tempahan kuih dan kek juga tidak menentu kerana pendapatannya bergantung kepada permintaan pelanggan.
Menurutnya, keuntungan diperoleh banyak digunakan untuk membeli barang dapur dan keperluan rumah.
“Bagaimanapun, saya tetap akan berusaha sedaya mampu bagi mencari wang untuk memberi peluang kepada Muhammad Syimir Amar melanjutkan pelajaran.
“Selain Muhammad Syimir Amar, saya juga perlu menanggung empat orang lagi anak yang belajar di politeknik, tingkatan enam, tingkatan dua dan tahun enam,”
ujarnya.
Hayuzi berkata, dia menguruskan kesemua anaknya itu seorang diri selepas berpisah dengan suaminya kira-kira dua tahun lalu.
Menurutnya, dua anaknya berusia 12 dan 14 tahun menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM200 sebulan dan jumlah itu sedikit sebanyak meringankan beban.















