KUALA SELANGOR – Kegiatan warga asing mengusahakan perniagaan kedai ‘dua dalam satu’ di sebuah premis di Bandar Puncak Alam di sini, mengundang padah apabila digempur pihak berkuasa, semalam.
Dalam operasi bersepadu pukul 9 pagi itu mendapati premis tersebut diubahsuai tanpa kebenaran dengan menjalankan aktiviti mengunting rambut dan menjahit pakaian sejak lima bulan lalu.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata, sepanjang operasi selama lima jam telah memeriksa 12 premis perniagaan dengan mengeluarkan lima kompaun termasuk kedai beroperasi dua dalam satu itu.
“Kedai gunting rambut dan kedai jahit itu bukan saja dikendalikan warga asing malah diubah suai secara tidak sah dalam satu lot kedai sama. Justeru, arahan penutupan serta merta dikeluarkan dan sitaan barangan dilakukan ke atas premis tersebut,” katanya hari ini.
Operasi itu turut disertai Jabatan Imigresen, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Menurut Mohamad Lutfi, seramai empat lelaki warga asing berusia 40-an telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen dan 13 lagi pekerja asing ditahan bagi semakan dokumen dan status penginapan mereka.
Ujarnya, satu lesen perniagaan turut dirampas manakala dua lagi premis dikenakan sekatan pembaharuan lesen. – KOSMO! ONLINE