SEREMBAN – Seramai lima warga Filipina termasuk seorang wanita dihukum penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menggunakan MyKad individu lain dan palsu.
Majistret Nurul Saqinah Rosli menjatuhkan hukuman lima bulan penjara terhadap dua beradik, Peter Camal, 45, dan Johari Camal, 48, serta Ajid Hasan, 43, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Seorang lagi tertuduh, Alvin Faisal, 31, pula mengaku tidak bersalah serta dibenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan dua penjamin rakyat Malaysia.
Di mahkamah berlainan, Majistret Saiful Sayoti menjatuhkan hukuman penjara dua bulan kepada Aisar Hamjalin Katang, 40, dan Rasid Olek, 27.
Seorang lagi tertuduh yang juga mendakwa isteri kepada Alvin, Alsaida Hassan, 28, pula mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan serta tiada jaminan dibenarkan.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Md. Shahedan Md. Taib, Hairul Azlin Ahmad dan Zulkarnain Ahmad.
Lima tertuduh yang dikenakan hukuman penjara pula tidak diwakili peguam. – KOSMO! ONLINE