fbpx

Warga emas berputih mata, rugi RM5 juta terpedaya pelaburan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Seorang lelaki warga emas kerugian RM5.02 juta selepas diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud yang diiklankan menerusi media sosial Facebook, awal Mac lalu.

Mangsa berusia 72 tahun yang juga seorang pengurus syarikat dikatakan tertarik dengan iklan pelaburan kononnya dikendalikan oleh syarikat ‘Philip Capital Management’ sebelum berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd. Zaini Abu Hassan berkata, berdasarkan siasatan awal, nombor telefon mangsa kemudian dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan WhatsApp dikenali sebagai ‘PCM Wealth Growth Exchange’.

“Mangsa telah diminta memuat turun aplikasi pelaburan dikenali sebagai MSTROM dan mendaftar sebagai pelabur baharu.

“Sepanjang tempoh pelaburan, mangsa membuat beberapa transaksi ke empat akaun bank berbeza sehingga berjumlah RM5.02 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Zaini, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila diminta membayar pelbagai jenis cukai untuk mendapatkan semula wang pelaburan tersebut.

Katanya, polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Modus operandi yang digunakan oleh suspek adalah dengan memperdaya mangsa melalui iklan pelaburan di aplikasi media sosial Facebook,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada terhadap tawaran pelaburan dengan pulangan tidak munasabah serta tidak melibatkan aplikasi kewangan yang tiada kelulusan Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

“Orang ramai yang mengesyaki sebarang panggilan yang mencurigakan boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk semakan, nasihat atau aduan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI