Dalam era globalisasi, semuanya berubah termasuk godaan ingin melanggar lampu isyarat ekoran kerana mahu segera sampai ke lokasi dituju. Keadaan itu seolah-olah menjadi budaya ketika ini.
Pelanggaran lampu merah ini kebanyakannya membawa tragedi seperti berlaku kepada dua lelaki yang maut selepas merempuh sebuah kereta di Kilometer 5, Jalan Banting-Jugra, Kuala Langat pada 1 Mei lalu.
Selang dua hari kemudian, seorang pemuda menjadi mangsa akibat tindakan sebuah van dipercayai melanggar lampu isyarat merah di Jalan Persiaran Senawang, Negeri Sembilan.
Peraturan pemanduan asas ini telah diajar ketika menduduki kursus teori dan amali lesen memandu tetapi sangat mengecewakan masih ramai ingkar.
Buktinya, sebanyak 95,298 saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya di seluruh negara atas kesalahan melanggar lampu isyarat merah bagi tempoh Januari
hingga November tahun lalu.
Pemandu kereta merekodkan jumlah tertinggi dengan 44,889 saman, diikuti penunggang motosikal (39,468), pemandu lori (3,937) dan lain-lain kenderaan (7,004).
Menurut Pakar Keselamatan Jalan Raya, Mohd. Rawi Omar, berdasarkan kajiannya sebelum ini mendapati, 20 sebab seorang pengguna jalan raya melanggar arahan lampu isyarat merah.
Kata bekas Ketua Jurulatih Pasukan Latihan Penunggangan Berhemah-Proton tersebut, hasil keputusan daripada 500 responden menunjukkan antara alasan adalah mengejar masa, mahu sampai cepat, ikut orang selain mahu ‘test power’ dan takut tertinggal ketika berkonvoi.
“Malah, ada antara responden memaklumkan melanggar lampu merah disebabkan malas menurun gear mereka bagi kenderaan transisi manual,” katanya kepada Kosmo!.
Beliau juga memberitahu, tindakan melanggar lampu isyarat juga berkaitan rapat dengan anggapan tiada kenderaan lain terutama di simpang-simpang jalan.
“Mereka seakan-akan yakin terutama kelompok pengguna yang sudah biasa melalui sesebuah laluan dengan mengetahui jarang ada kenderaan lain dari arah bertentangan.
“Kadang-kadang belum lampu hijau pun sudah gerak dan saya mengelarkan mereka ini sebagai jumpstart,” katanya.
Sementara itu, Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya serta Sukan Permotoran, Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR), Jamil Manan Supri memberitahu, senario melanggar lampu isyarat ini bukan sahaja di bandar, malah lebih ketara berlaku di kawasan taman perumahan.
“Amat mendukacitakan, ia bukan sahaja membabitkan golongan remaja, malah orang dewasa yang mengambil ringan mengenai aspek keselamatan,” ujarnya.
Justeru, kata beliau pengawasan litar menggunakan kamera pengawasan pantau (Red Light Surveillance) perlu diperhebatkan semasa ketidakhadiran pegawai polis.
“Selain itu, Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) perlu diaktifkan semula dalam usaha mengurangkan kesalahan trafik,” jelasnya.
Tegasnya, PPKJR menyarankan supaya hukuman denda yang berat dikenakan dengan menggantung lesen memandu mereka yang melakukan kesalahan berulang membawa kepada sitaan kenderaan bagi mendatangkan kegerunan kepada pesalah.














