SEGAMAT – Seorang bayi malang ditemui dibalut kain batik yang kotor dan dihurung semut ditinggalkan di sebuah rumah di Felda Redong, di sini, Sabtu lalu.
Insiden malang yang dipercayai baharu dilahirkan kira-kira empat jam itu disedari pemilik kediaman terbabit yang berusia 60-an.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, lelaki warga emas itu menyedari bayi itu berada di rumahnya kira-kira pukul 7.45 malam ketika mahu keluar untuk ke masjid.
“Hasil siasatan, pemilik rumah seorang lelaki warga tempatan sebelum itu, ada terdengar bunyi tangisan bayi malang berkenaan. Kira-kira pukul 7.45 malam, dia menemui bayi lelaki dengan dibaluti kain batik, kotor dan bersemut ketika keluar untuk ke masjid menunaikan solat magrib.
“Dia kemudian membersihkannya sebelum membawa bayi ke dalam rumah dan menghubungi anak perempuannya bagi memaklumkan kejadian itu,”katanya ketika di temui ketika sidang akhbar di IPD Segamat di sini, hari ini.
Tambah Ahmad Zamry, hasil pemeriksaan mendapati bayi lelaki itu cukup sifat dan baru dilahirkan kira-kira empat jam berdasarkan keadaan bayi itu masih bertali pusat mempunyai kesan darah.
“Tiada sebarang nota ditinggalkan sekitar lokasi penemuan bayi tersebut. Bayi tersebut kini diletakkan bawah pengawasan pihak Hospital Segamat untuk pemeriksaan lanjut.-KOSMO! ONLINE