Tangkap layar video beberapa kenderaan yang tersadai di tepi Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan selepas dipercayai mengalami kerosakan tayar akibat terlanggar lubang besar yang dikongsi di Threads.

[VIDEO] Lubang besar di Lebuh Raya Utara-Selatan sudah ‘makan’ 10 kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Lebih 10 kenderaan dilaporkan tersadai di tepi Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan selepas mengalami kerosakan tayar yang dipercayai akibat terlanggar lubang besar di laluan berkenaan.

Kejadian yang dipercayai berlaku di kawasan selepas Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban menghala ke Plaza Tol Ainsdale itu mengundang kebimbangan pengguna jalan raya, lebih-lebih lagi apabila beberapa kenderaan dilihat berhenti di bahu jalan untuk menukar tayar.

Menerusi perkongsian beberapa pengguna Threads, lubang berkenaan dikatakan berada di lorong kedua dari kiri dan menyebabkan beberapa tayar kenderaan pecah selepas melaluinya.

Seorang pengguna @azrulrhm mendakwa terdapat hampir 10 kenderaan tersadai di tepi lebuh raya ketika melalui kawasan berkenaan, malah beberapa lagi kenderaan mengalami nasib sama dalam jarak kira-kira tiga kilometer.

“Baru nampak lebih 10 kereta tersadai tepi jalan. Semua tengah tukar tayar, meletup sebab langgar lubang di lebuh raya. Lubang besar di tengah-tengah lebuh raya,” katanya.

Seorang lagi pengguna @azimzkfle_ berkata, dia turut menjadi mangsa selepas tayar kenderaannya mengalami kerosakan ketika melalui laluan berkenaan dalam keadaan hujan.

“Saya baru kena pagi tadi, tayar pecah sebelah tepi. Waktu hujan memang tak perasan lubang,” katanya.

Sementara itu, pengguna @subuhfahar memaklumkan terdapat beberapa kenderaan yang sudah tersadai ketika dia melalui kawasan berkenaan sekitar pukul 9.30 pagi.

“Dah tersadai enam tujuh biji kereta di tepi, tengok semua tukar tayar. Kalau tengok keadaan lubang, bukan baru jadi. Kalau besar macam itu, yang pelik takkan tiada tindakan daripada PLUS? Tak boleh bayang kalau motosikal yang lalu situ,” katanya.

“Saya terkena lubang itu, tetapi nasib baik terkena tepi-tepi lubang sahaja. Kalau masuk penuh tayar, rosak juga. Tengok kereta depan banyak berhenti,” komen @aisyhzn._

Dalam pada itu, pengguna @yinzreen meminta PLUS Malaysia mengambil tindakan segera bagi mengelakkan lebih banyak kenderaan menjadi mangsa, selain bimbang keadaan tersebut boleh menyebabkan kemalangan.

“Baru lalu pagi ini, lebih tujuh kereta tersadai di tepi. Kesian ada satu Alza itu terkena tayar depan dan belakang. Korang hati-hati lalu sana. Hello @plus_malaysia, cepat sedikit bertindak sebelum apa-apa yang tidak diingini berlaku,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN