Kari laksa Malaysia pernah dinobatkan makanan kedua terbaik dunia oleh laman travel, Lonely Planet.

‘Syurga’ makanan lazat, nikmat atau musibat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Malaysia dan makanan sedap bagai tidak dapat dipisahkan. Kelazatan makanan-makanan di Malaysia bukan sahaja disahkan tekak kita bahkan diiktiraf oleh dunia.

Lepas satu, satu. Setelah sajian popular negara, roti canai menjuarai carta roti terbaik dunia dan makanan jalanan terbaik dunia, terbaharu April lalu, kari ayam dari Malaysia dinobatkan sebagai stew No.1 terbaik dunia oleh TasteAtlas.

Kari ayam menduduki tempat pertama, diikuti kari phanaeng dari Thailand dan dzhash dari Armenia, manakala murgh makhani dari India dan kalle pache dari Iran melengkapkan lima tangga teratas.

Antara stew lain dalam senarai ialah rendang dari Indonesia (keenam), kari massaman dari Thailand (ketujuh), keema dari India (kelapan), hünkar begendi dari Turkiye (kesembilan) dan kari hijau Thailand (ke-26).

Terdahulu juga, karipap dari Malaysia tersenarai top 5 kuih-muih terbaik dunia pada tahun lalu. Seorang chef antarabangsa terkenal dari New Zealand, Andy Hearnden pula baru-baru ini memilih nasi goreng kampung dari Malaysia sebagai pemenang nasi goreng terbaik, mengalahkan arroz chaufa dari Peru dan com chien dari Vietnam.

Sebelum ini juga kari laksa Malaysia pernah dinobatkan makanan kedua terbaik dunia oleh laman travel, Lonely Planet yang menyenaraikan 500 makanan terbaik dunia. Kari laksa Malaysia bahkan mengalahkan sushi di tempat ketiga.

Berdasarkan tinjauan, laman web Agoda menyenaraikan Malaysia dalam top 5 ‘syurga’ makanan di Asia dan hampir separuh atau 49 peratus pelancong melawat Malaysia hanya kerana makanan.

Antara makanan yang banyak dicari ialah nasi lemak, char kuetiau dan cendol.

Maka, tidak hairanlah apabila pengulas politik Amerika Bill O’Reilly yang mengatakan rakyat Malaysia ‘tidak cukup makan’ berkait lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia baru-baru ini dibidas ramai termasuk warga asing yang menyifatkan di Malaysia banyak makanan sedap-sedap belaka dan rakyatnya sebenarnya terlebih makan.

Namun, kita sebagai rakyat Malaysia juga, perlu sedar nikmat dikurniakan syurga makanan ini turut datang bersama bahananya. Kerana makanan yang sedap-sedap ini jugalah mengelabui minda kita sehingga kurang beringat menjaga makan sehingga kadar obesiti di negara ini terus meningkat.

Obesiti antara masalah kesihatan yang paling mendesak di Malaysia. Negara ini mempunyai kadar obesiti dewasa kedua tertinggi di Asia Tenggara dengan prevalensi 19.7 peratus.

Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, 54.4 peratus rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan atau obes. Ini menyumbang kepada peningkatan kejadian penyakit tidak berjangkit termasuk diabetes, penyakit jantung dan jenis barah tertentu.

Laporan terbaharu, World Obesity Foundation sempena Hari Obesiti Sedunia pada 4 Mac lalu menyatakan bilangan rakyat Malaysia yang mempunyai BMI tinggi akan berterusan meningkat dari 8.14 juta pada tahun 2010 kepada 10.17 juta pada tahun 2020 kepada 17.55 juta pada tahun 2030.

Ketika negara-negara lain diuji musibah bencana, peperangan, kebuluran dan sebagainya, kita mungkin diuji Tuhan dengan nikmat lambakan makanan sedap yang mana ia juga satu ujian.

Amaran Allah terkhusus mengenainya dalam surah Al-A’raf ayat 31: “Makanlah dan minumlah, dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang berlebih-lebihan.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN