BEIJING – Sebuah majlis perkahwinan di China menerima kecaman orang ramai apabila pengantin lelaki dikatakan berkahwin dengan dua pengantin perempuan, lapor portal berita South China Morning Post kelmarin.
Kad jemputan digital majlis perkahwinan tersebut yang dimuat naik di platform tempatan, Douyin memaparkan seorang lelaki memakai sut sambil diapit dua wanita mengenakan gaun putih.
Menerusi jemputan itu, majlis perkahwinan mereka akan diadakan di sebuah restoran mewah, Century Jiayuan Banquet Centre di bandar Zhuhai dalam wilayah Guangdong, selatan China pada 19 April lalu.
Imej tersebut menjadi tular di media sosial dan mencetuskan perdebatan hangat di ruang komen.
“Perkahwinan tiga orang? Adakah ia benar? Saya tidak sabar untuk mengetahui gosip mereka,” kata seorang netizen.
Polis mengesahkan bahawa salah seorang daripada dua wanita itu merupakan bekas isteri kepada pengantin lelaki.
“Gambar perkahwinan dan jemputan itu adalah sebahagian daripada gurauan,” tambah polis.– AGENSI