fbpx
Pelawat dilarang meletakkan kenderaan di tepi-tepi jalan sehingga menghalang laluan di luar HRPB, Ipoh.

Seksanya cari parkir kereta di hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kekurangan tempat letak kenderaan di beberapa hospital kerajaan bagaikan tiada kesudahan sejak berpuluh-puluh tahun lamanya.

Masalah ini seperti isu kesesakan jalan raya di ibu kota dan bandar-bandar besar pada waktu puncak yang masih belum berjaya diselesaikan.

Begitu juga ketika musim perayaan sehingga anak perantau terpaksa mengambil masa berbelas-belas jam untuk pulang ke kampung terutama di Pantai Timur.

Kesengsaraan menghadap kesesakan jalan raya sama seperti seksanya mencari tempat letak kenderaan di hospital-hospital kerajaan.

Antara lokasi yang dikenal pasti mengalami kekurangan parkir adalah seperti di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh selain Hospital Sultan Idris Shah Serdang di Selangor.

Sebelum ini, Hospital Kuala Lumpur turut mengalami isu yang sama, tetapi selepas pembinaan tempat letak kenderaan bertingkat, masalah tersebut dapat dikurangkan.

Biarpun sudah ada cadangan pembinaan kompleks letak kenderaan bertingkat untuk pelawat di HRPB dua tahun lalu, namun sehingga kini belum nampak sebarang ‘bayang’ mengenai usaha itu.

Disebabkan itu, pengguna terpaksa berpusing-pusing mencari parkir ‘halal’ sehingga ada yang meletakkan kenderaan mereka sejauh lebih 1 kilometer.

Mereka terpaksa berjalan kaki dalam keadaan panas terik atau hujan ke hospital. Jika orang sakit sendiri yang memandu kereta, bertambah sakit mereka.

Tidak hairanlah jika deretan kenderaan diletakkan di tepi-tepi jalan di sekeliling dan di luar HRPB. Sekiranya bernasib baik, tidak akan dikenakan saman, namun jika malang menimpa, surat cinta pun terselit di depan cermin kereta.

Pembinaan kompleks tempat letak kenderaan bertingkat perlu segera dilaksanakan. Parkir terbuka perlu diganti dengan kemudahan itu.

Rugi jika hanya 30 kenderaan boleh diletakkan di kawasan terbuka berbanding lebih 300 kereta dapat diisi dengan kemudahan parkir bertingkat.

Di Hospital Sultan Idris Shah Serdang, deretan kende­raan di sepanjang jalan selepas susur keluar lebuh raya pula sudah menjadi pemandangan biasa.

Walaupun sudah mempunyai blok letak kereta sembilan tingkat dengan 554 petak, namun belum dapat menampung bilangan kenderaan yang banyak.

Sama juga seperti di Hospital Selayang, yang sudah dilengkapi parkir mekanikal sejak Januari 2023 dan menjadi hospital pertama menggunakan sistem itu, tetapi ada kalanya masih tidak mencukupi.

Kemudahan seperti ini perlu dipertingkatkan kerana setiap tahun jumlah kenderaan turut meningkat, malah bilangan pesakit juga bertambah.

Di dalam hospital padat dengan pesakit tetapi di luar pula sesak dengan kenderaan.

Ia menjadi cabaran kerajaan dalam usaha meningkatkan keselesaan kepada pesakit dan pelawat ketika negara perlu berbelanja besar dalam bidang perubatan, sedangkan caj yang dikenakan paling murah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN