fbpx
KWSP mendedahkan hampir 13,000 pengarah syarikat dihalang ke luar negara kerana ingkar membuat caruman kepada pekerja masing-masing. – Gambar hiasan

Majikan ‘rompak’ gaji pekerja, tak carum KWSP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Segelintir pekerja terpaksa berputih mata apabila ditipu majikan sendiri yang langsung tidak membuat caruman ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedangkan ia telah ditolak daripada gaji bulanan dan ditulis di dalam slip gaji mereka.

Lebih malang apabila bukan sahaja wang mereka ‘dirompak’, malah terlepas peluang menambah simpanan melalui pemberian dividen paling tinggi dalam sejarah iaitu sebanyak 6.3 peratus yang diumumkan KWSP pada 1 Mac lalu.

Sebahagian mangsa yang ditemui Kosmo! mendedahkan, penipuan majikan hanya terbongkar selepas mereka membuat semakan walaupun gaji dipotong setiap bulan.

Hanisah, 40, berkata, dia mula menyedari ‘dirompak’ majikan yang menjalankan perkhidmatan hospital swasta ketika membuat semakan pada Februari lalu.

Kata jururawat itu, dia terkejut apabila tiada caruman yang dibuat tetapi gajinya dipotong setiap bulan dengan jumlah terkumpul mencecah RM18,000.

“Bila disemak, semua rakan sekerja menerima nasib serupa. Kami buntu untuk mendapatkan hak kami kerana Jabatan Sumber Manusia sering memberi pelbagai alasan sama iaitu caruman sudah dibuat tetapi belum di­selaraskan oleh KWSP.

“Mula-mula boleh terima tetapi ini sudah lebih setahun dan caruman masih tidak masuk. Sedih sebab orang lain bergembira dengan dividen tetapi kami berputih mata kerana wang kami ‘dicuri’ tak tahu ke mana pergi,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Hanisah, majikannya telah dikenakan denda selepas dia dan rakan-rakan melaporkan kepada pihak berwajib, namun masih belum dapat kembali gaji yang telah ditolak itu.

Asiah, 25, pula berkata, dia masih cuba mendapatkan hak daripada bekas majikannya walau sudah lima tahun gajinya ‘dirompak’.

Asiah yang merupakan seorang guru taska berkata, sejak dia bekerja pada tahun 2019, majikannya tidak pernah mencarum KWSP, namun gaji tetap dipotong untuk caruman pada setiap bulan.

“Sehinggalah Disember 2021, saya berhenti kerja, caruman masih tidak masuk. Saya tahu tidak ada caruman pun sebab KWSP yang telefon saya. Kalau tak, saya memang tak perasan sebab dalam slip gaji memang ditolak.

“Sampai sekarang saya masih ‘kejar’ bekas majikan untuk buat caruman atau bayar semula gaji yang dicuri. Bukan saya sahaja, ada juga staf lain yang dari awal bekerja sampai sekarang masih tidak dicarum,” katanya.

Sementara itu, bekas pekerja syarikat pembinaan di Selangor, Ahmad, 39, berkata, dia hanya sedar ditipu selepas membuat semakan baki KWSP secara dalam talian awal tahun ini.

“Saya kerja di situ hampir tujuh tahun. Setiap bulan gaji saya dipotong sekitar RM230 untuk KWSP dan majikan sekitar RM315, tapi bila saya semak, caruman tak masuk pun sejak tahun pertama lagi.

“Habis macam tu saja duit saya. Kalau dikira hampir RM20,000 gaji ‘dicuri’ majikan. Malah, syarikat juga jimat lebih RM45,000 untuk tempoh itu,” katanya.

Ahmad Ridzuan turut me­ngakui dia hampir gila apabila menyedari menjadi mangsa pe­nipuan majikan dan syarikat dengan nilai kerugian yang tinggi.

“Tapi salah saya juga, percaya dengan potongan yang kononnya untuk KWSP seperti ditunjuk dalam slip gaji. Rupanya satu sen pun ia tidak dikreditkan ke akaun saya. Perkara ini pun saya dah buat laporan kepada pihak KWSP. Moga hak saya dikembalikan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN