PETALING JAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini memohon doa dan sokongan daripada rakyat menjelang hari penentuan kesnya di mahkamah esok, yang telah berlarutan selama lima tahun.
Dalam satu hantaran di akaun TikTok miliknya, bekas Menteri Belia dan Sukan itu meluahkan rasa syukur kerana diberi kekuatan untuk bersabar sepanjang tempoh perbicaraan tersebut.
“Berani kerana benar. Esok adalah hari penentuan di mahkamah. Lima tahun saya sabar. Kini tiba masanya untuk kebenaran dibela.
“I don’t ask for much, but your prayers (Saya tak minta banyak, cuma doa anda). Kerana tiada senjata yang lebih kuat daripada doa kepada Allah SWT,” tulisnya ringkas.
Hantaran itu menerima ribuan tanda suka dan komen daripada para penyokong serta pengikut beliau yang mendoakan agar segala urusan Syed Saddiq dipermudahkan dan kemenangan berpihak kepadanya.
“Semoga segala urusan YB (Yang Berhormat) Syed Saddiq dipermudahkan esok dan beroleh kemenangan. Aamiin Ya Allah,”kata seorang pengguna media sosial.
Kumpulan penyokong yang menggelarkan diri mereka sebagai #BASS juga tidak ketinggalan membanjiri ruangan komen dengan ucapan semangat dan doa buat wakil rakyat muda itu.
“Semoga dipermudahkan urusan. Doa kami peminat BASS (Bella Astillah Syed Saddiq) sentiasa mengiringi,” kata Shela Salih.
“Seluruh rakyat doakan YB #BASS,” kata Aishah
Mahkamah Rayuan pada 20 Mac lalu menangguhkan ke 17 April ini bagi menyambung hujahan pendakwaan dalam rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu bagi mengetepikan sabitan empat tuduhan berkaitan dana Armada yang dihadapinya.
Syed Saddiq, 32, merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023 yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana berkenaan. – KOSMO! ONLINE