KETIKA ini segmen skuter mula mendapat tempat dalam kalangan pengguna di Malaysia.
Malah, persaingan skuter ketika ini juga semakin sengit apabila banyak syarikat pengeluar mempertaruhkan skuter keluaran mereka di pasaran.
Mdua Motor Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat kepada AFY Mobility Industries (AMI) tidak ketinggalan untuk memperkenalkan MODA Sporter-S yang dikuasakan dengan enjin 250cc.
Reka bentuk MODA Sporter-S berinspirasikan ‘sportsbike’ yang mengetengahkan rekaan yang lebih aerodinamik dan berani.
Sekali pandang, rekaan bentuk lampu hadapan dan bahagian belakang skuter ini dengan gabungan warna merah dan putih memperlihatkan ia terinspirasi daripada Ducati Panigale.
Rekaan untuk MODA Sporter-S ini lebih bergaya dan berbeza berbanding dengan skuter-skuter lain di pasaran.
Skuter ini dikuasakan oleh enjin 244cc satu silinder SOHC dengan sistem penyejukan cecair yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 24.8hp pada 8,500rpm dan tork maksimum 22.5Nm pada 6,500rpm.
Setelah hampir dua minggu berpeluang untuk menunggang MODA Sporter-S, penulis berpuas hati dengan kuasa skuter ini sama ada untuk perjalanan jarak pendek mahupun jauh dan mampu mencecah kelajuan maksimum lebih 140 kilometer sejam.

Skuter ini juga dilengkapi tangki isian petrol dengan kapasiti 13 liter yang membolehkan perjalanan jarak jauh dalam satu-satu masa sebelum perlu mengisi minyak semula.
Malah, enjin skuter ini juga berspesifikasi Euro-4 yang cekap penggunaan bahan api.
Selain itu, MODA Sporter-S selesa untuk ditunggang kerana kedudukan tempat duduk skuter ini sangat ergonomik.
Malah, anak penulis yang baru berusia lima tahun juga berasa selesa untuk duduk di bahagian hadapan skuter ini kerana ada ruang untuk dia meletakkan kaki.
Dalam masa yang sama, skuter ini turut dilengkapi dengan ruang penyimpanan kecil di bahagian kiri dan kanan pada bahagian hadapan serta satu port USB yang membolehkan pengecasan peranti dilakukan.
Selain itu, skuter ini juga dilengkapi dengan ciri keselamatan canggih dengan ciri-ciri sebuah ‘sportsbike’.
Antaranya ialah brek cakera berkembar di bahagian hadapan bersaiz 260 milimeter (mm) dan cakera tunggal 240mm di belakang yang dikombinasikan bersama Sistem Brek Antikunci (ABS) bagi memastikan pemberhentian yang selamat.

Selain itu, skuter ini juga dilengkapi dengan teknologi kawalan Traction Control System (TCS) yang memastikan kestabilan semasa membelok di permukaan yang mencabar.
Dalam pada itu, MODA Sporter-S didatangkan dengan roda hadapan bersaiz 15 inci dan roda belakang 14 inci.
Saiz tayar yang digunakan adalah 120/70 untuk bahagian hadapan dan 140/60 pada bahagian belakang dan memberikan kestabilan yang baik di atas permukaan jalan.
Untuk suspensi hadapan, skuter ini menggunakan fork balikan dan pada bahagian belakang menggunakan suspensi penyerapan hentakan boleh laras yang memberikan kawalan yang baik serta keselesaan semasa menunggang.
Selain itu, ruang simpanan di bawah pelana tempat duduk boleh memuatkan dua topi keledar.
Skuter ini juga dilengkapi beberapa ciri menarik lain seperti lampu hadapan ultra terang LED Matriks, kekunci pintar, hubungan wayarles antara peranti telefon dan skrin besar berwarna TFT bersaiz 6.2 inci yang menyokong panggilan serta navigasi penuh semasa tunggangan.
Ia sesuai untuk mereka yang mahukan sebuah skuter yang boleh digunakan setiap hari untuk pergi dan pulang ke tempat kerja ataupun bagi tunggangan santai pada hujung minggu.
Apa yang penulis rasakan, skuter ini tidak terlalu kecil ataupun terlalu besar dan mudah untuk dikendalikan bagi menempuh jalan raya pada bila-bila masa meskipun ketika waktu puncak.
Berat untuk skuter ini adalah 186 kilogram (kg) dan mungkin sedikit berat untuk penunggang-penunggang wanita terutamanya.
Secara keseluruhan, MODA Sporter-S adalah sebuah skuter yang boleh menjadi ‘list’ untuk dimiliki kerana dikategorikan sebagai antara skuter terbaik dan berkuasa di dalam kelasnya.
Selain itu, ia juga mudah untuk dikendalikan dan kos penyelenggaraan juga tidak terlalu membebankan pengguna dan harga yang ditawarkan juga lebih murah berbanding skuter-skuter di dalam kelasnya yang dikeluarkan oleh syarikat lain.
Skuter ini didatangkan dengan dua pilihan warna iaitu Sporty Red dan Meteor Grey yang ditawarkan pada harga RM17,888.













