Pesalah membabitkan orang kurang upaya (OKU) terutama masalah pembelajaran dikatakan wajar dihukum sebagai pengajaran atas kesalahan jenayah yang mereka lakukan.
Sama ada kemalangan atau jenayah seksual, golongan itu perlu dihukum tanpa menggugurkan pertuduhan.
Pada Februari lalu, seorang lelaki OKU pembelajaran ditahan disyaki mencabul kanak-kanak di sebuah masjid di Batang Kali, Selangor.
Bagi Konsultan Psikologi Organisasi yang juga Pensyarah Sambilan di UniKL Royal College of Medicine Perak, Dr. Alizi Alias, hukuman yang dikenakan ke atas OKU tidak sepatutnya sama seperti pesalah normal.
Katanya, hukuman itu seharusnya bergantung kepada keadaan mental dan tahap pemahaman atau keupayaan pesalah OKU ketika jenayah tersebut dilakukan.
“Jika semasa hukuman dijalankan, pesalah tidak mampu memahami kenapa dia dihukum atau melakukan jenayah, hukuman itu tidak efektif.
“Terdapat pelbagai bentuk hukuman lain yang mungkin lebih sesuai seperti tahanan di institusi khas jika dinilai pakar sebagai berbahaya, tetapi mereka tidak sesuai dipenjara bersama pesalah normal,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut beliau, hukuman lain yang dianggap sesuai berbentuk psikoterapi dan rehabilitiasi jika jenayah berlaku disebabkan ketidakupayaan kognitif, perintah pemantauan dan pendidikan khas sekiranya mereka dinilai boleh dididik untuk mematuhi peraturan dan mengurangkan risiko pengulangan jenayah.
“Bagi OKU pembelajaran mereka mempunyai intelektual tinggi, sederhana dan rendah. Ada yang mempunyai kecelaruan neuroperkembangan, masalah pembelajaran khusus, kecelaruan bahasa dan komunikasi, sindrom genetik dan kecelaruan neurologi.
“Biasanya mereka yang mempunyai tahap intelektualiti tinggi mampu memahami kesalahan yang dilakukan. Sama seperti manusia normal, jika hilang kewarasan, mereka tidak mampu memahami kesalahan mereka,” ujarnya.
Secara umumnya jelasnya, OKU pembelajaran berkebarangkalian tinggi menjadi mangsa dera, buli dan jenayah berbanding jadi penjenayah.
“Ini penting untuk mengelakkan stigma OKU pembelajaran lain yang mempunyai prestasi tinggi, sejahtera dalam keluarga dan tempat kerja.
“Jika ada segelintir OKU pembelajaran yang terbabit dalam kegiatan jenayah, seperti manusia lain ia mungkin dipengaruhi oleh faktor seperti kelemahan dalam fungsi kognitif, impulsiviti, eksploitasi pihak lain, tekanan emosi akibat diskriminasi dan kesukaran dalam berkomunikasi.
“Faktor khusus pula mungkin disebabkan oleh gabungan masalah pembelajaran dengan penyakit mental lain yang mengurangkan tahap kewarasan.
“Perlu diingatkan faktor-faktor ini tidaklah berlaku sepanjang masa. Oleh itu, mereka tidaklah sentiasa terlibat dengan tingkah laku jenayah, tetapi sekali-sekala sekiranya terdapat faktor pencetus seperti mana manusia normal lain,” katanya.
Pendapat penulis, tidak kira status, siapa sahaja yang melakukan kesalahan jenayah, mereka tetap perlu menerima hukuman kerana mangsa juga memerlukan keadilan selagi ia tidak bertentangan dengan undang-undang.














