fbpx
Hasil tangkapan keseluruhan trip kami pada hari tersebut.

K2

Pesta sagai di Penyabong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Meredah alun menongkah ombak dan badai membawa kepada pembukaan musim yang mendebarkan. Ibarat pepatah, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Penyabong terkenal dengan pantai indah, kemudahan dan pilihan penginapan banyak, serta destinasi memancing yang kerap mencuri tumpuan ramai. Lokasi memancing yang terlin­dung daripada tiupan angin laut menjadikan pembukaan musim memancing lebih awal.

Namun begitu, tidak semua sanggup meredah ombak, lantaran kesukaran untuk menuju ke pulau. Pasti basah kuyup semuanya.

Semasa fasa akhir Monsun Timur Laut, trip sentiasa dalam keadaan bersedia dengan sebarang kemungkinan. Walaupun dengan bantuan aplikasi dan panduan daripada pihak meteorologi, namun jika keadaan dilihat tidak selamat, pasti trip akan dibatalkan serta-merta.

Monsun Timur Laut
Kelebihan memancing di musim ini adalah disebabkan kehadiran gerombolan ikan pelagik yang turut berlindung dan menjadikan kawasan pulau sebagai santuari bagi membiak.

Antaranya adalah ikan sagai yang menjadikan kepulauan Penyabong destinasi persinggahan. Bukan bermaksud spesies ini hanya muncul ketika tengkujuh, tetapi pada musim ini seakan-akan ia berkumpul di sesuatu kawasan dengan banyaknya.

Bagi sesiapa yang dapat mencuri masa di kala angin sedikit reda pasti membuahkan hasil kerana gerombolan ikan ini akan kekal di satu-satu kawasan dalam tempoh panjang. Namun begitu, trip sebegini tidak sesuai bagi mereka yang ‘kaki mabuk laut’.

Saya membawa kumpulan pemancing diketuai oleh Abang Apis. Saya memang sudah kenal lama dengan kumpulannya dan sudah tahu betapa ‘ungkalnya’ mereka. Trip diteruskan walaupun angin menderu tidak seperti yang dipaparkan dalam aplikasi cuaca.

Karang tinggi
Setelah merentas lautan sejauh 14 kilometer dari jeti, kami tiba di kepulauan Sri Buat bagi berlindung seketika sebelum meneruskan aktiviti memancing. Pulau ini merupakan taman laut dan sebarang aktiviti penangkapan ikan adalah dilarang.

Setelah semua stabil, saya menuju ke satu kawasan karang tinggi iaitu luar dari kawasan taman laut.

Kawasan karang tinggi merupakan sasaran utama apabila memancing di musim ini.

Pelbagai spesies ikan akan berlindung daripada arus deras dan menjadi santuari bagi ikan kecil.

Sebelum menemui gerombolan ikan sagai, kami mengambil kesempatan memancing secara berhanyut melepasi beberapa puncak kawasan berkarang.

Beberapa ekor kerapu bara dapat didaratkan di kawasan karang ini kerana sememangnya merupakan habitatnya.

Sejarah teknik bulu ayam
Bagi nelayan yang mengkhususkan ikan sagai sebagai sasaran utama, teknik yang digunakan adalah menggunakan bulu ayam. Bertimbun batuan pantai akan dibawa untuk digunakan sebagai pemberat berserta daun kelapa yang digunakan sebagai kantung batu tersebut.

Daun kelapa berisi batu dicangkuk ke mata kail yang dihiasi bulu ayam kemudian dilepaskan sehingga ke dasar. Seraya itu sentapan dilakukan dan meninggalkan daun kelapa berisi batu di dasar, lalu mata kail berhias bulu ayam dihenjut seakan meniru pergerakan ikan bilis sehingga ke permukaan.

Namun, teknik ini hanya tinggal sejarah kerana tidak ramai ‘orang lama’ yang masih mempraktikkannya, manakala nelayan sekarang pula lebih gemar menghanyutkan jaring bagi menjebak spesies ini.

Aplikasi jigging
Melalui persembahan kaedah tradisional orang lama, ia boleh ditiru menggunakan kaedah moden iaitu teknik jigging. Pelbagai faktor asas diambil kira melalui kaedah lama, antaranya henjutan mestilah secara konsistan dan penggunaan tali halus bagi meningkatkan kadar sambaran.

Melalui bantuan alat fish finder, kumpulan ikan dapat dikesan dan fokus pancingan hanya menyasar­kan pada kawanan ikan tersebut.

Persembahan jig juga dimainkan pada kedalaman tertentu supaya tidak terlalu jauh daripada zon serangan ikan pemangsa.

Memandangkan kawasan ini tidak dalam, hanya sekitar 20 meter, penggunaan set pancingan ringan adalah pilihan terbaik kerana ia lebih santai dan tidak terlalu memenatkan. Namun, dengan keadaan tiupan angin yang agak kuat, jig digunakan perlu sedikit berat bagi memastikan jatuhan tepat ke sasaran.

Pemilihan jig bersaiz 40 hingga 60 gram (g) memadai dengan syarat menggunakan tali utama dan shock leader yang berdiameter halus. Tujuannya supaya dapat mengurangkan daya tolakan air dan jatuhan kepingan jig menjadi lebih pantas. Jatuhan yang tepat lebih memberikan peluang umpan disambar ikan pemangsa.

Jigging berhanyut
Penggunaan tali yang halus memaksa pemancing sentiasa peka dengan pergerakan jig. Jika ia mencecah dasar, perlu segera menaikkan sedikit jig supaya tidak tersangkut di celah karang. Dengan perambut serap henjutan (shock leader) yang halus sehingga 15 paun (lb), pasti peratusan untuk putus akan menjadi sangat tinggi jika terleka.

Saya kerap membiarkan bot berhanyut melintasi beberapa puncak bukit karang kerana kawanan ikan sagai acap kali ditemukan di cerun karang. Kawasan cerun ini tidak luas dan saya kerap mengingatkan pemancing tentang struktur dasar supaya semua peka terhadap kedalaman air bagi mengelakkan jig tersangkut karang.

Semasa berhanyut, saya perlu sentiasa peka terhadap paparan sonar dan sistem posisi sejagat (GPS) supaya dapat memerhati struktur, kehadiran kawanan ikan, pergerakan akan lebih mudah dan tidak tersasar jauh dari lokasi.

Setiap lokasi akan diulang beberapa kali sebelum berpindah ke tempat lain jika sudah tiada sambaran atau tiada lagi imej kawanan ikan di paparan sonar.

Kawasan pelancongan
Penyabong merupakan kawasan yang terkenal dengan sektor pelancongan. Bagi sesiapa yang berhajat memancing di perairan ini, anda boleh membawa keluarga. Banyak pilihan resort dan inap desa terdapat di sekitar Penyabong yang menjanjikan harga berpatutan.

Namun begitu, untuk bermandi-manda di pantai di kala musim monsun bukanlah satu pilihan yang bijak.

Ini kerana, keadaan air yang keruh dan ombak kuat pastinya membahayakan nyawa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN