PETALING JAYA – Nilai hartanah di Putra Heights dan kawasan berdekatannya bakal berdepan penurunan selepas insiden besar melibatkan kebakaran dan saluran paip gas yang memusnahkan beratus-ratus kediaman dan harta benda penduduk.
Ejen hartanah IM Global Property Consultants Sdn. Bhd. (Putrajaya), Sr. Rosliza Awi berkata, pihaknya bagaimanapun tidak dapat menganggarkan peratusan penurunan tersebut memandangkan masih memerlukan data untuk dikumpulkan.
“Akan ada penurunan, tetapi saya kurang pasti berapa peratusannya.
“Buat masa ini kami penilai dan ejen hartanah masih lagi dalam peringkat mengumpulkan data yang berkaitan,” katanya kepada Kosmo!.
Beliau berkata, sekiranya semua pihak termasuk agensi memainkan peranan masing-masing, ia dapat menyelesaikan permintaan yang menurun di kawasan Putra Heights.
“Pada saya, ia bergantung kepada ‘demand’ dan ‘supply’. Saya rasa keyakinan pembeli untuk melabur semula di kawasan ini apabila orang awam dapat jaminan keselamatan daripada pihak terbabit yang semuanya sudah selamat dan di bawah kawalan.
“Saya percaya ada badan-badan profesional boleh pastikan atau buat ujian tertentu untuk tentukan kawasan ini sudah selamat untuk diduduki,” katanya.
Ditanya mengenai kawasan di Putra Heights, beliau berkata, ia antara kawasan yang mendapat permintaan tinggi memandangkan lokasi tersebut merupakan pegangan bebas dengan mempunyai taman-taman perumahan yang tersusun.
“Macam tragedi Highland Tower, pembeli akan berhati-hati untuk membeli di kawasan sini.
“Dalam jangka masa panjang, kerajaan akan lakukan langkah keselamatan di situ dan secara perlahan-lahan, nilai itu nanti akan naik,” ujarnya.
Dari segi sewa di Putra Heights, Rosliza memaklumkan, purata sewa di kawasan itu adalah antara RM2,000 dan ke atas bagi bayaran bulanan rumah ‘landed’.
“Bagi apartmen kos rendah pula antara RM700 hingga RM1,000 sebulan,” ujarnya.














