MERAKAM kenangan indah saat berada di luar negara dengan menggunakan kamera video Sony DCR-DVD menjadi kegemaran bekas pemain bola sepak kebangsaan, Safee Sali sewaktu di usia remaja.
Perkara tersebut dikongsikan oleh penyampai stesen radio swasta itu ketika mengenang semula memori yang kini menjadi nostalgia abadi dan sukar untuk dilupakan.
“Dahulu saya suka merekod video lebih-lebih lagi ketika berada di luar negara. Kalau ada masa lapang ketika berada di luar negara sama ada latihan atau perlawanan bola sepak, saya akan merakam tempat-tempat menarik untuk dikongsikan bersama keluarga apabila pulang ke tanah air.
“Sebabkan minat merakam video itu membuatkan saya tertarik dengan aktiviti suntingan video. Boleh dikatakan saya antara pemain bola yang suka membawa kamera ke mana-mana terutama pada waktu senggang di rantau orang,” katanya kepada K-Tekno.
Biarpun aktiviti merakam video menggunakan kamera menjadi kegemarannya suatu masa dahulu, kini pemilik nama lengkap Mohd. Safee Mohd. Sali, 41, itu mengakui sudah lama dia tidak melakukannya.
“Mungkin ketika itu kamera sebegini menjadi trend dan popular dalam kalangan masyarakat. Tambahan pula saya masih muda dan suka mengikut teknologi semasa berbanding sekarang kamera sebegitu agak kurang digunakan.
“Biarpun telefon pintar sekarang rata-rata mempunyai kemampuan untuk merekod video, tetapi mungkin kerana faktor usia saya lebih suka menghargai detik-detik nyata. Pun begitu, Kalau ada kenangan atau memori manis dengan keluarga mahupun kawan-kawan saya akan rakam untuk dijadikan kenangan,” katanya. Melanjutkan cerita, Safee Sali sangat meminati muzik dan gemar membawa discman jenama Sony ke mana sahaja terutama ketika mengembara ke luar negara.

“Waktu dulu dengar discman sudah rasa diri ini ‘gempak’ dan hebat. Bukan kata discman, walkman pun saya ada. Pakai telefon Nokia 3310 pun pernah juga dulu.
“Saya dulu memang suka dengar muzik dan memang bawa walkman atau discman ke mana-mana sebab tidak perlu berkongsi dengan orang lain. Apabila diingatkan semula semua kenangan mendengar muzik itu mengingatkan saya semula bagaimana rasa berhibur dengan muzik.
“Itulah membantu saya yang kini sudah bekerja dengan radio sebagai deejay. Siapa sangka saya yang dahulu gemar mendengar lagu, kini semua itu menjadi sebahagian daripada saya,” katanya seraya ketawa.
Mula membina kerjaya sebagai pemain bola sepak sekitar umur 19 tahun, Safee Sali mampu mempunyai simpanan sendiri untuk memenuhi segala kehendaknya sejak di usia muda.
“Saya simpan duit sendiri untuk beli apa yang diinginkan seperi discman, walkman dan kamera video. Pada saya waktu itu kalau pakai fon telinga sudah kelihatan sangat bergaya.
“Masa itu umur masih muda dalam 19 atau 20, dengar muzik guna discman masa duduk dalam bas dengan ahli pasukan lain yang waktu itu rata-rata lebih berumur pada saya, mungkin ada yang pandang saya sebagai ‘budak poyo’ kerana gaya sebegitu.
“Tetapi itulah cara kita masa muda yang suka dengar muzik dan mengikut peredaran masa,” katanya.














