SUBANG JAYA – Kegembiraan menyambut Aidilfitri bertukar duka buat beberapa buah keluarga di Putra Heights di sini apabila kediaman mereka mengalami kerosakan teruk dalam kebakaran saluran paip gas pada Selasa lalu.
Rata-rata mangsa yang pulang meraikan Syawal terkejut saat dikhabarkan bahawa kediaman yang menjadi tempat mereka berteduh selama ini musnah sama sekali termasuk harta benda hangus menjadi abu pada pagi Aidilfitri kedua.
Seorang mangsa, Alim Ahmad, 49, berkata, dia tidak menyangka kepulangannya ke kampung halaman di Perak, menjadi mimpi ngeri apabila mendapat berita rumah musnah dalam sekelip mata.
Katanya, rumahnya di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong mengalami kerosakan teruk dalam kejadian itu.
“Saya baru menikmati raya dengan keluarga, tiba-tiba dapat panggilan rumah terbakar. Perasaan masa tu sukar digambarkan, dada rasa sesak.
“Bila saya pulang semalam, air mata laju tidak dapat ditahantahan tengok rumah yang dulu tempat kami berteduh, kini tinggal abu dan runtuhan,” katanya.
Menurutnya, bukan sahaja rumah musnah, malah kenangan dan usaha bertahun-tahun membina kehidupan di situ turut lenyap dalam sekelip mata.
“Anak saya tanya, ayah, mana bilik saya?’ Saya cuma mampu peluk dia dan katakan rumah kita dah tak ada,” ujarnya sambil menyeka air mata.
Seorang lagi mangsa, Zuraidah Zaibidin, 46, berkata, dia bersama suami dan lima anak pulang ke kampung sejak Sabtu lalu dan sempat mengambil surat beranak dua anak kecil saya kerana rasa tidak sedap hati.
“Rupa-rupanya firasat saya betul, rumah yang kami duduki sejak tiga tahun lalu betul-betul terbakar. Semua barang kami habis hangus, termasuk dokumen penting, rumah, sebuah kereta dan sebuah motosikal,” katanya.
Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Sahrunizam, 49, berkata, dia berada di kampungnya di Sungkai, Perak, ketika kejadian dan hanya mengetahui berita itu selepas dihubungi jiran.
“Saya bertolak balik kampung pagi Sabtu selepas sahur. Waktu dapat tahu rumah terbakar, hati rasa luluh, tak terkata. Rumah sewa yang saya duduki ini antara yang paling teruk terjejas.
“Semua dokumen penting hangus, termasuk dua buah motosikal. Kami hanya pulang dengan pakaian di badan, langsung tak ada apa-apa yang tinggal,” katanya dalam nada sayu.
Luahnya, dia kini hanya mampu berdoa agar urusannya dipermudahkan dan berharap dapat tuntut insurans untuk kenderaan yang musnah.
“Saya tak tahu macam mana nak mulakan hidup semula. Sekarang kami terpaksa tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS). Nak cari rumah baru pun tidak mampu,” katanya sambil menahan sebak.
Ujarnya, mereka kini hanya mengharapkan bantuan pihak berkuasa untuk mencari penempatan baharu sementara menunggu sebarang keputusan mengenai rumah mereka.
Bagaimanapun, ramai mangsa dilihat masih trauma selain tidak pasti sama ada kembali menetap di situ atau mencari kehidupan baharu di tempat lain. – KOSMO! ONLINE














