CAMERON HIGHLANDS – Suasana Aidilfitri di tanah tinggi Cameron Highlands tahun ini lebih meriah apabila kebanyakan inap desa di kawasan peranginan popular itu habis ditempah.
Pemilik inap desa P’Lah Homestay di Tanah Rata, Mohd. Hasbullah Kamaruzaman, 43, berkata, semua unit penginapan miliknya telah penuh ditempah sejak awal lagi oleh pelanggan yang ingin merasai pengalaman unik berpuasa dan beraya di kawasan tanah tinggi.
Menurutnya, ada pelanggan yang datang awal untuk berpuasa di sini, manakala ada juga yang tiba selepas solat sunat Aidilfitri.
“Ramai pengunjung memilih untuk menyambut hari raya di tanah tinggi yang menawarkan udara segar dan persekitaran nyaman. Mereka mula masuk pada 30 Mac lalu dan sehari sebelum hari raya.
“Harga bagi inap desa jenis apartmen bermula daripada RM200 hingga RM280 semalaman. Apa pun, yang penting mereka dapat menikmati masa berkualiti bersama keluarga,” katanya di sini baru-baru ini.
Bagi Asliza Musa, 48, pula, kebanyakan pelanggan yang memilih Cameron Highlands sebagai destinasi beraya adalah mereka yang tidak mempunyai kampung halaman tradisional atau ingin lari seketika daripada kesibukan kota.
Dia yang telah mengusahakan inap desa di Tanah Rata sejak lebih empat tahun lalu turut mengakui lonjakan luar biasa dalam tempahan penginapan sempena Aidilfitri.
“Sekarang sudah jadi trend, ramai yang mahu beraya di Cameron Highlands. Suasana di sini tetap meriah kerana ramai pengunjung bercuti bersama keluarga.
“Alhamdulillah, hari raya kali ini semua inap desa habis ditempah. Ini peluang besar buat pengusaha untuk menjana pendapatan lebih baik,” katanya.
Jelasnya, sebelum ini suasana di Cameron Highlands agak suram selepas kehadiran pelancong berkurangan, namun Aidilfitri membawa sinar baharu apabila ramai memilih untuk menikmati suasana raya dalam suhu yang lebih dingin dan segar.
“Dengan sambutan Aidilfitri yang semakin hampir, Cameron Highlands kini menjadi destinasi pilihan bagi mereka yang ingin merasai kemeriahan lebaran dalam suasana yang berbeza, jauh dari kesesakan kota tetapi tetap penuh keceriaan,” katanya.
Sementara itu, Julia Burhanudin, 41, dari Kuala Lumpur berkata, suasana nyaman dan udara sejuk di Cameron Highlands menjadi tarikan utama dia menyambut Aidilfitri di tanah tinggi itu.
Katanya, perancangan ke Cameron Highlands telah lama dibuat kerana kali terakhir dia menjejakkan kaki ke sana adalah lima tahun lalu.
“Tahun ini saya mengambil peluang membawa keluarga bercuti sempena Aidilfitri. Selepas pemergian arwah ayah dan emak tiga tahun lalu, suasana raya terasa hambar buat kami.
“Jadi selepas solat sunat Aidilfitri dan menziarahi kubur mereka, kami sekeluarga terus bertolak ke Cameron Highlands,” katanya.
Sementara itu, Razif, 40-an, dari Kuantan, turut memilih lokasi sama untuk beraya kali ini selepas tahun lalu dia dan keluarga menyambut Syawal di Melaka.
Tambahnya, selain ladang teh yang luas dan kebun strawberi, udara segarnya memberikan pengalaman beraya yang berbeza berbanding suasana di bandar atau kampung halaman biasa.
“Tahun ini, saya ingin membawa isteri dan tiga anak beraya di tanah tinggi pula. Selain cuacanya yang sejuk dan nyaman, Cameron Highlands juga menawarkan banyak tempat menarik untuk diterokai serta pelbagai pilihan makanan yang enak,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE














