fbpx
Syahirah (gambar kecil) menceritakan bagaimana di berdepan detik cemas gempa bumi bersama anak dan suaminya di Bangkok.

‘Dah turun lobi pun masih goncang, saya tak berhenti zikir’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia yang berada di Bangkok, Thailand memberitahu, gempa bumi kelmarin telah mencetuskan suasana panik apabila bumi bergegar lebih tiga minit menyebabkan dia tidak berhenti berzikir ketika berusaha menyelamatkan diri.

Syahirah Mohd. Nor, 32, berkata, gegaran itu antara paling lama pernah berlaku sehingga rumah terasa bergoyang manakala din­ding merekah yang menyaksikan banyak bangunan tinggi runtuh.

Katanya, ketika kejadian, dia yang tinggal di Charoen Krung, Bangkok berada di rumah bersama anak berusia setahun enam bulan manakala suaminya di pejabat.

“Tiba-tiba katil bergoyang dan dengar bunyi dinding merekah sebelum saya membawa anak berlari keluar menyelamatkan diri.

“Suasana panik ekoran ramai penghuni menggunakan tangga kecemasan untuk keluar dari bangunan yang turut didiami warganegara lain seperti Australia, Jepun dan Korea Selatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.

Menurut Syahirah, gegaran masih dirasai walaupun dia telah tiba di lobi dari tingkat 21 bangunan.

Tambahnya, mulutnya tidak berhenti berzikir memandangkan ia merupakan pengalaman pertama dan hanya fikir mahu keluar secepat mungkin.

Pelakon Hariz Hamdan, 23, turut cemas apabila melihat lampu di pusat beli-belah di Bangkok mula bergoyang.

“Kami diarahkan ke stadium dan duduk di situ selama lima jam bermula pukul 1 tengah hari. Semua panik dan takut balik hotel,” katanya.

Kiridaren Jayakumar pula berkata, ini merupakan pengalaman pertama dan dengan kesan sampingan terasa seperti pening dan keletihan.

“Ketika itu, saya sedang bermain telefon, tiba-tiba rasa ­pening dan bangunan mula bergegar hingga menyebabkan rasa keletihan selepas kajadian.

“Kawan dari Filipina, Indonesia dan Taiwan kata biasanya gempa sekitar 30 saat sahaja tetapi semalam (kelmarin) sekitar 75 saat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN