fbpx
KEASLIAN dan kualiti yang ada pada lagu-lagu raya lama menyebabkan ia masih bertahan dan menjadi pilihan ramai di sebalik kemunculan banyak lagu-lagu raya moden dan viral ketika ini.

Lagu raya ‘segera’ kualiti atau ‘content’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Setiap kali Ramadan melabuhkan tirai dan Syawal semakin hampir, industri muzik tempatan tidak pernah sunyi dengan kemun­culan lagu-lagu raya baharu. Namun, dalam keterujaan mencipta lagu raya, muncul satu fenomena yang semakin membimbangkan – penghasilan lagu raya secara ‘segera’ dengan kualiti yang rendah, lebih mementingkan trend viral berbanding nilai seni yang sebenar.

Dalam kajian saya mengenai fenomena media sosial dalam industri muzik Melayu tempatan, terdapat satu pola yang semakin ketara, iaitu kebangkitan pencipta lagu yang terlalu fokus kepada elemen populariti berbanding kualiti.

Hal ini sejajar dengan dapatan bahawa media sosial telah mengubah orientasi penghasilan muzik, menjadikan trend sebagai penentu utama kejayaan sesebuah lagu, bukan lagi aspek kreativiti atau keaslian.

Jika diperhatikan, kebanyakan lagu raya baharu yang muncul dalam beberapa tahun kebelakangan ini dihasilkan secara tergesa-gesa. Liriknya klise, susunan muziknya ringkas, dan melodi yang diulang tanpa struktur melodi yang baik. Malah, ada yang lebih menjurus kepada parodi atau sekadar hiburan ringan, tanpa membawa nilai sentimental atau estetika yang boleh dikenang dalam jangka panjang.

Dalam era media sosial yang serba pantas, pencipta lagu semakin terdorong untuk menghasilkan karya ‘cepat siap’ de­ngan harapan ia menjadi tular. Fenomena ini menyebabkan lagu raya kehilangan roh keasliannya. Lagu-lagu raya klasik se­perti ­Selamat Hari Raya (Puan Sri Saloma), Dendang Perantau (Tan Sri P. Ramlee), dan Suasana Hari Raya (Anuar & Elina) masih bertahan kerana kekuatan melodi dan liriknya, sesuatu yang semakin sukar ditemui dalam lagu-lagu raya moden.

Media sosial

Antara punca utama kejatuhan kualiti lagu raya adalah budaya mengejar populariti di platform media sosial. Sesiapa sahaja kini boleh mencipta lagu raya dan menyebarkannya melalui TikTok, YouTube, atau Instagram tanpa perlu melalui proses tapisan profesional. Ini menyebabkan lambakan lagu raya ‘syok sendiri’ yang dicipta sekadar untuk ‘content engagement’ tanpa mengambil kira nilai seni atau sumbangan kepada industri muzik.

Kajian saya turut mendapati bahawa pengguna media sosial kini lebih cenderung untuk memberikan perhatian kepada lagu-lagu yang mempunyai elemen kejutan, lawak atau kontroversi berbanding lagu yang benar-benar berkualiti. Fenomena ini menyumbang kepada kerosakan industri muzik kerana ia menggalakkan budaya ‘asal viral’ tanpa mempertimbangkan kualiti dan legasi jangka panjang.

Kemunculan lagu-lagu raya yang tidak berkualiti bukan sahaja menjejaskan industri muzik dari sudut estetika, malah memberi kesan kepada penyanyi berbakat yang serius dalam bidang ini. Lagu raya yang dibuat sekadar untuk memenuhi permintaan semasa akan lenyap begitu sahaja selepas musim perayaan, berbeza dengan karya berkualiti yang mampu menjadi malar segar dan bertahan selama berdekad-dekad.

Justeru, sudah tiba masanya pencipta lagu dan penggiat seni lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan lagu raya yang benar-benar bermutu. Adalah tidak dinafikan bahawa media sosial boleh menjadi alat yang berkesan untuk mempromosikan karya seni, tetapi ia tidak sepatutnya menjadi faktor utama yang menentukan arah sesebuah kandungan seni muzik khasnya kandungan sebuah lagu yang mempunyai nilai tersendiri.

Teknologi AI

Adalah diharapkan juga komposer lagu di Malaysia tidak menggunakan teknologi AI dalam mencipta lagu di Malaysia. Tidak dinafikan AI boleh membantu, namun keberkesanannya masih menjadi tanda tanya. Walaupun AI mampu meniru struktur muzik dan lirik berdasarkan data yang dipelajarinya, sentuhan emosi, kehalusan seni, dan kreativiti manusia masih sukar untuk diganti. Lagu-lagu raya haruslah memiliki jiwa dan makna yang mendalam – sesuatu yang AI masih belum mampu lakukan sepenuhnya.

Jika AI digunakan sebagai alat bantu dan bukannya pengganti komposer, ia mungkin dapat membantu dalam pemeliharaan warisan muzik raya, namun penciptaan lagu masih memerlukan sentuhan manusia untuk memastikan keaslian dan nilai sentimental yang tinggi.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, industri muzik tanah air juga turut dikejutkan dengan kemunculan lagu-lagu raya yang dihasilkan oleh para usahawan terkenal. Lagu-lagu mereka turut mendapat perhatian luas, bukan kerana keunggulan muzik atau keindahan lirik, tetapi lebih kepada elemen sensasi dan kontroversi yang mereka bawa.

Mungkin disebabkan mereka merupakan individu yang lebih dikenali dalam bidang perniagaan, mereka menggunakan po­pulariti sendiri serta strategi pemasaran agresif di media sosial untuk memastikan lagu-lagu raya mereka mendapat perhatian.

Dengan memanfaatkan platform seperti TikTok dan YouTube, lagu-lagu ini sengaja diolah dengan sedikit unsur provokatif, lirik yang bersifat keanak-anakan, serta persembahan yang mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen. Namun bagi penulis, penerbitan lagu tersebut bukanlah bertujuan untuk ma­suk ke gelanggang industri muzikm tetapi hanya bagi tujuan promosi diri dan produk mereka sahaja. Itulah yang diharapkan.

Berbalik kepada penggunaan laman rangkaian media sosial yang boleh menjadi alat yang berkesan untuk mempromosikan muzik, ia tidak sepatutnya menjadi satu-satunya faktor yang menentukan hala tuju industri. Lagu-lagu raya klasik masih bertahan kerana keindahan melodi dan makna yang disampaikan, sedangkan lagu-lagu raya yang hanya mengejar viral akan hilang ditelan masa.

Legenda

Penulis cukup bertuah kerana pernah berguru dengan dua nama besar dalam industri muzik tanah air iaitu Allahyarham Datuk S. Atan dan Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab. Mereka bukan sahaja legenda dalam mencipta muzik berkualiti, tetapi juga individu yang sangat menitikberatkan ketelitian dalam penghasilan karya seni.

Pernah diberi gelaran ‘Raja Lagu Raya’, Allahyarham S. Atan atau nama sebenarnya Hashim Said, misalnya telah bertanggungjawab mencipta beberapa lagu raya yang menjadi malar segar seperti

Menjelang Hari Raya (Datuk DJ Dave), Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Datuk Sudirman), Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone), Salam Aidilfitri (Datuk Jamal Abdillah), Hari Mulia (Datuk Sheila Majid) dan Indah Beraya Di Desa (Azlina Aziz).

Lagu-lagu ciptaan Allahyarham ini bukan sahaja mempunyai melodi yang indah tetapi juga lirik yang menyentuh perasaan, menggambarkan keindahan dan kemeriahan Aidilfitri dengan penuh makna.

Begitu juga dengan Allahyarham Ahmad Nawab, seorang komposer legenda yang banyak menghasilkan lagu raya berkua­liti tinggi. Lagu-lagu ciptaannya seperti Seloka Hari Raya yang mempunya mood ceria dan juga Doa di Hari Mulia yang mengisahkan seorang wanita yang tidak dapat beraya bersama suami yang sedang berjuang demi negara.

Kedua lagu ini telah menampilkan susunan gubahan muzik yang teliti dan melodi yang mampu meninggalkan kesan mendalam kepada pendengar.

Selain mereka, industri muzik tanah air juga telah melahirkan komposer hebat seperti Fauzi Marzuki dan Datuk M. Nasir, yang turut meninggalkan jejak dalam penciptaan lagu-lagu raya berkualiti.

Fauzi Marzuki, mi­salnya terkenal dengan lagu-lagu yang membawa sentuhan emosi mendalam, termasuk Selamat Berhari Raya yang dinyanyikan oleh Rahimah Rahim, sebuah lagu raya yang membawa mood kegembiraan di hari raya walaupun terdapat perkataan ‘duka’ di dalam liriknya. Begitu juga lagu ciptaannya bagi penyanyi yang dilahirkan Asia Bagus, Amy Mastura iaitu Setahun

Sekali turut memberikan pendengar mood yang easy listening.

Manakala Sifu Datuk M. Nasir, dengan sentuhan artistiknya, telah menghasilkan lagu se­perti Satu Hari Di Hari Raya dan Salam Dunia yang bukan sahaja memiliki melodi yang unik dan bercirikan muzik nusantara, tetapi juga mesej yang mendalam tentang makna sebenar Aidilfitri. Hinggakan lagu tersebut disukai dan dihafal oleh setiap genap lapisan masyarakat.

Jika kita ingin memastikan lagu raya terus hidup dalam memori generasi akan datang, kita perlu kembali kepada prinsip asas yakini menghasilkan muzik yang berkualiti, bukan sekadar mengejar populariti yakni perhatian sementara.

Muzik adalah cerminan budaya. Lagu raya bukan sekadar hiburan bermusim, tetapi juga sebahagian daripada warisan seni dan identiti muzik Melayu.

Dr. Mohd Izwan Izhar Haris ialah Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (UMT)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN