fbpx
TELEFON bimbit jenama Nokia Xpress Music merupakan antara gajet terawal dimiliki oleh Akim.

Akim guna voicenote telefon rakam lagu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HASIL upah membantu arwah ibu dan ayah membuat kuih membolehkan selebriti ini memiliki gajet pertamanya yang merupakan sebuah permainan video konsol Playstation 2.

Gajet tersebut juga merupakan antara peranti yang banyak memberi kenangan buat dirinya dan menjadi pengisi waktu lapang.

Menurut vokalis kumpulan Akim and the Majistret, Akim Ahmad, dia sangat menghargai permainan konsol berkenaan yang juga membuka pendedahan buat dirinya kepada dunia teknologi.

“Pada ketika itu, Playstation 2 menjadi gajet idaman dan perasaan apabila dapat memilikinya sangat gembira, malah sejak dari itu saya sentiasa ikuti perkembangan permainan konsol berkenaan.

“Selain perkembangan permainan video Playstation, semasa zaman remaja saya juga sering tengok trend terkini teknologi termasuk telefon bimbit dan gajet audio,” katanya ketika ditemui K-Tekno pada Majlis Berbuka Puasa

Bersama Nova Music, 17Eleven, Future Music Entertainment dan Persembahan Lagu-Lagu Raya di Glamsuite, Glamhall Damansara, Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambah pelantun lagu Potret itu, selepas memiliki permainan konsol, antara gajet terawal yang pernah dimilikinya adalah telefon bimbit jenama Nokia Xpress Music.

Katanya lagi, kedua-duanya gajet tersebut banyak memberi kenangan bermakna buat dirinya dan pada masa sama dia juga menjaganya dengan baik.

Selain itu, Akim turut berkongsi sepanjang dia silih berganti memiliki gajet, telefon pintar jenis Iphone banyak berjasa dengannya terutama dalam karier sebagai penyanyi.

Kongsinya, sepanjang menggunakan gajet tersebut dia kerap menggunakan aplikasi dalaman nota pesanan suara (voicenote) untuk merakam ilham lagu-lagunya.

“Iphone merupakan antara gajet yang banyak menyimpan karya-karya lagu saya, setiap kali mendapat ilham memang saya akan terus rakam di voicenote.

“Saya memang sayang dengan peranti tersebut dan ia juga banyak menyimpan kenangan dan menjadi saksi jatuh bangun sepanjang saya bergelar anak seni,” ujarnya.

Mengakui sudah kurang mengikuti perkembangan teknologi selepas mendirikan rumah tangga, suami kepada penyanyi, Stacy itu juga memberitahu bahawa pada masa ini dia lebih banyak menumpukan penggunaan gajet untuk kerjayanya.

Jelasnya, dia kini lebih menumpukan untuk memiliki gajet seperti komputer yang memudahkan dia untuk menggubah lagu dan karya muzik baharu.

Ujarnya lagi, dalam era digital, proses pembuatan lagu sudah menjadi lebih mudah dengan kepelbagaian aplikasi, namun ia juga memerlukan peranti yang bersesuaian untuk menampungnya.

“Selepas berkahwin, saya tidak berapa update dengan teknologi, malah Playstation 5 juga masih belum terbeli sehingga hari ini.

“Tetapi kini dalam menjalani kerjaya sebagai penyanyi dan pencipta lagu, saya memang banyak menggunakan komputer dan sentiasa ambil tahu perkembangan gajet terkini yang bersesuaian untuk penggunaan gubahan karya baharu,” kongsinya.

Tambahnya, pada masa kini, teknologi amat penting buat selebriti dan diperlukan untuk membantu kerjaya dalam bidang muzik yang sudah beralih kepada dunia digital.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN