fbpx
Seorang warga emas yang berkerusi roda menangis apabila menerima sumbangan bubur lambuk di Masjid Kapitan Keling, George Town.

‘Sudah 20 tahun mak cik mengemis di sini’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Setiap kali bulan Ramadan, kehadiran pengemis jadian sama ada rakyat tempatan atau warga asing ibarat cendawan tumbuh selepas hujan apabila jumlahnya bertambah terutamanya menjelang hari-hari terakhir bulan puasa.

Lokasi yang menjadi tum­puan golongan ini kebiasaannya bazar Ramadan selain kawasan pekarangan masjid dengan hanya menadah tangan atau menghulurkan kotak bagi meraih simpati orang ramai.

Situasi itu juga dapat dilihat di pekarangan luar Masjid Kapitan Keling di sini, yang menjadi tumpuan pengemis bermusim dengan­ riak muka sedih, comot dan berkerusi roda.

Meskipun kehadiran mereka berkurangan berban­ding tahun lalu, namun masih ada dalam kalangan mereka terutama warga emas yang setia menagih belas kasihan daripada pejalan kaki, pengguna jalan dan jemaah masjid.

Seorang wanita warga emas yang enggan dikenali memberitahu, dia dan beberapa rakannya memilih untuk duduk di atas batu tepi jalan masjid berkenaan pada waktu petang sejak dari awal Ramadan lalu.

“Sudah 20 tahun mak cik di sini setiap kali bulan Ramadan, menunggu orang mai (datang) bagi duit. Kut (jika) ada rezeki mak cik dapat zakat boleh buat untuk persiapan raya nanti.

“Mak cik hanya menyewa bilik di kawasan ini dan tidak selalu pun berada di sini. Hanya keluar waktu-waktu macam ini sahaja (bulan Ramadan).

“Lagi pun dah tua, sudah tak larat nak duduk lama. Nanti, bila masuk waktu berbuka, mak cik balik ke bilik sewa. Masa muda dulu, sampai ke awal pagi tunggu orang mai (datang) bagi bantuan dengan kawan-kawan di sini,” kata wanita berusia 70-an itu ­ketika ditemui Kosmo!, baru-­baru ini.

Dalam pada itu, apabila ditanya mengenai status keluarganya, warga emas terbabit seakan-akan cuba mengelak untuk berbicara mengenai hal tersebut.

Sementara itu, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 70-an berkata, tahun ini berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya apabila tidak banyak makanan diterima daripada orang ramai.

“Sehingga Ramadan ke-15, kami baru dapat dua atau tiga bungkusan makanan sahaja. Dari awal puasa sehinggalah Ramadan kesembilan, baru dapat sebekas bubur lambuk.

“Jika tahun lalu, kami di sini memang kaya dengan makanan, sampai tak tersentuh langsung pun ada. Tahun ini, nak dapat nasi tomato lauk ayam pun payah. Bukan itu sahaja, duit pun tak dapat.

“Kali ini, memang ada yang datang bagi RM1 setiap seorang tapi mereka lebih beri tumpuan kepada warga emas yang uzur dan berkerusi roda. Kami yang nampak sihat cuma disapa mereka sahaja,” dakwanya.

Seorang individu yang juga kenalan kepada warga emas terbabit mendakwa, mereka kini lebih selesa berada di situ pada waktu petang memandangkan keadaan usia yang semakin meningkat.

“Hanya waktu petang sahaja kami ada di sini dan malam adalah masa untuk kami berehat di dalam bilik sewa. Mak cik ada kencing manis dan tak upaya nak tunggu lama-lama.

“Dari awal puasa, mak cik dapat kumpul sehari RM20. Cukup­lah buat makan dan bayar sewa bilik. Mak cik takdak (tiada) siapa-siapa lagi. Hanya kawan-kawan di sini jadi teman dan saudara kalau jatuh sakit,” ujarnya sambil memegang balang plastik berisi wang kertas RM1.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN