LIPIS – Meskipun dijual pada harga yang agak mahal, permintaan terhadap juadah ikan sungai liar sangat menggalakkan selain menjadi menu pembuka selera setiap kali ketika berbuka puasa.
Pemilik Kedai Makan Hasnah Kampung Ganding, Hasnah Budin, 65, berkata, pelbagai menu masakan berasaskan ikan sungai liar yang dijual turut laris dan habis setiap hari.
Katanya, antara ikan sungai liar yang dijual ialah jenis kenerak, lampam jawa, kerai, gohok dan baung.
“Kebanyakan ikan yang dijual adalah hasil tangkapan penduduk kampung yang bekerja sebagai nelayan darat.
“Hasil tangkapan itu dijual kepada kedai ikan milik anak saudara dan saya akan mengambilnya untuk dimasak serta dijual sebagai hidangan berbuka puasa,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, harga ikan sungai liar juga berbeza dan lebih mahal berbanding ikan sungai sangkar terutama bagi ikan bersaiz besar.
“Ikan seperti patin dan tilapia biasanya dari sangkar, tetapi ikan sungai liar seperti kenerak, lampam jawa, kerai, gohok dan baung tetap mendapat permintaan tinggi.
“Harga ikan ini bergantung kepada jenis, saiz dan bahagian ikan. Sebagai contoh, kepala ikan kenerak biasanya dijual pada harga RM40 ke atas, manakala bahagian isi dan ekor dijual sekitar RM20 sepotong,” katanya.
Hasnah berkata, harga tersebut masih dianggap berpatutan memandangkan ikan kenerak mentah sahaja boleh mencecah RM40 sekilogram.
Malah katanya, kos tambahan seperti tempoyak dan lada turut menyumbang kepada harga setiap hidangan.
“Kebiasaannya, ikan sungai liar ini dimasak gulai asam tempoyak. Jika ada penduduk kampung yang menghantar ikan segar, saya akan segera membelinya dan menyimpan dalam peti ais,” ujarnya.
Tambahnya, kedai makan miliknya yang terletak di Kampung Ganding, Mela itu sering menjadi tumpuan pelanggan dari luar Lipis termasuk dari Kuala Lumpur, Kuantan dan Jengka yang sanggup datang jauh semata-mata untuk menikmati keenakan ikan sungai liar.
“Sebagai contoh, patin buah dijual berdasarkan permintaan kerana harganya boleh mencecah RM160 sekilogram. Jika dijual seketul, harganya boleh melebihi RM100.
“Jika ada pelanggan mahu patin buah, saya akan memasaknya bergantung kepada bekalan ikan sungai yang dihantar oleh penduduk kampung,” katanya.
Ujarnya, orang ramai yang ingin menikmati keenakan ikan sungai liar sepanjang Ramadan ini disarankan untuk datang lebih awal bagi mengelakkan kehabisan juadah.














