JOHOR BAHRU – Sebilangan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terpaksa mengeluarkan duit mereka melalui Akaun Fleksibel untuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Mereka yang berada dalam kesempitan hidup menganggap duit daripada Akaun 3 itu sebagai ‘penyelamat’ agar boleh membeli baju raya baharu, membuat kuih-muih serta menghias rumah.
Awal bulan lalu, mereka sudah banyak berhabis duit untuk menampung perbelanjaan sekolah anak-anak seperti membeli pakaian seragam, buku, alat tulis dan beg sekolah.
Seorang bekas pembantu am pejabat, Siti Noor Asiah Muda, 35, berkata, dia tiada pilihan selain mengeluarkan duit simpanan melalui Akaun Fleksibel.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, dia yang sudah berhenti kerja sejak tiga tahun lalu mempunyai baki simpanan Akaun 3 yang mencukupi untuk dikeluarkan.
“Suami saya bekerja sendiri, pendapatan pun tidak menentu. Kami berbincang untuk saya keluarkan sedikit simpanan melalui Akaun Fleksibel untuk menampung perbelanjaan Ramadan dan
menyambut hari raya.
“Saya keluarkan RM1,000 sebagai modal untuk membeli baju raya baharu dan kelengkapan lain menjelang satu Syawal.
“Awal bulan lalu kami telah berbelanja untuk persediaan sekolah dua anak dan banyak duit telah kami pakai, jadi sebab itulah kami keluarkan simpanan KWSP,” katanya kepada Kosmo!.
Seorang pemandu e-hailing, Ahmad Tarmizi Hussein, 45, berkata, dia turut memilih jalan yang sama untuk menyediakan modal menyambut hari raya.
Katanya, dia mengeluarkan kira-kira RM1,500 untuk menyedia kelengkapan baju raya untuk isteri serta lima orang anak berusia antara 5 hingga 14 tahun.
“Saya sebelum ini bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta selama hampir 20 tahun sebelum terpaksa diberhentikan kerana syarikat mengalami masalah kewangan ketika negara berhadapan pandemik Covid-19.
“Sejak itulah saya mula jadi pemandu e-hailing. Banyak kali juga cuba cari kerja sesuai, tetap masih belum ada rezeki,” katanya.
Ahmad Tarmizi yang berasal dari Kluang berkata, kos perbelanjaan meningkat dua kali ganda awal tahun ini menyebabkan dia tidak mampu untuk menyediakan perbelanjaan bagi menyambut hari raya.
“Awal tahun ini, sekolah buka, lepas itu Ramadan dan kita akan sambut Aidilfitri, banyak duit nak kena pakai.
“Jadi pilihan yang ada terpaksa keluarkan simpanan KWSP melalui Akaun 3 untuk tampung perbelanjaan menyambut hari raya,” katanya.
Pada 11 Mei 2024, semua akaun KWSP ahli di bawah umur 55 tahun distruktur semula kepada Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.
Simpanan Akaun Fleksibel atau Akaun 3 boleh dikeluarkan pada bila-bila masa tertakluk kepada terma serta syarat yang ditetapkan KWSP.
Bagaimanapun, KWSP menggalakkan pengeluaran cuma digunakan pada waktu kecemasan dan untuk keperluan mendesak sahaja. -KOSMO! ONLINE














