SEPANJANG membesar, dirinya tidaklah begitu didedahkan dengan perkembangan gajet, malah semasa zaman sekolah dia tidak memiliki telefon bimbit sendiri.
Namun, setelah telefon bimbit menjadi keperluan untuk berhubung, pelakon, Jaja Iliyes, kemudian memiliki telefon pertamanya iaitu model Nokia 3310.
Katanya, ia merupakan antara telefon yang paling lama digunakan sebelum dia beralih kepada telefon bimbit berwarna hingga ke Android dan iOS.
“Sepanjang saya membesar, memang tidak didedahkan dengan gajet, malah semasa dapat telefon 3310 saya sudah berasa kagum.
“Namun, selepas bekerja saya kumpul duit untuk tukar telefon bimbit dan kemudian mengikuti perkembangan semasa dengan menggunakan telefon pintar hingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui K-Tekno pada Tayangan Perdana, Dajal: Satu Malam Dipedajal di Pawagam Dadi, Pavillion, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, dalam penggunaan gajet, pelakon yang dikenali menerusi drama 7 Hari Mencintaiku itu juga mengakui bahawa berbanding telefon pintar, dia lebih banyak menggunakan tablet jenis Ipad untuk kegunaan kerja. Ujarnya, dalam urusan kerja dia banyak melaksanakan tugas dan membuat rujukan untuk watak dengan menggunakan Ipad dan komputer, malah turut membuat sambungan sistem dengan telefon pintar.
Sebagai seorang yang menggunakan gajet untuk keperluan, Jaja juga mengatakan bahawa dia masih belum terbiasa dengan gaya hidup gajet secara keseluruhan seperti penggunaan jam tangan pintar.

“Saya tidaklah terlalu mengikut perkembangan teknologi, tetapi tetap ambil tahu apa yang terkini dan terbaharu serta membeli mengikut keperluan semasa.
“Malah, di sosial media juga saya tidaklah begitu aktif berkongsi kecuali dengan teman-teman rapat,” tuturnya.
Selain telefon pintar dan tablet, Jaja juga pernah mempunyai pengalaman dengan gajet muzik semasa di usia remaja.
Kongsinya, gajet muzik terutama radio scan dan discman banyak memberi memori kepadanya terutama ketika bersama rakan-rakan. Dahulu, sudah menjadi trend anak muda pergi ke mana-mana dengan mengenakan fon telinga dan membawa walkman atau discman begitu juga Jaja tidak terkecuali.
“Suatu ketika dahulu, saya beli radio scan yang kecil di kedai RM2 demi untuk mengikut trend dan apabila rosak kita beli semula.

“Saya tidak sempat menggunakan walkman kaset, tetapi pernah menggunakan discman dan ia membuatkan saya rasa bergaya pada zaman itu,” katanya.
Dalam pada itu, Jaja turut memberitahu bahawa untuk gajet yang akan datang, dia lebih memilih untuk memiliki set sistem rumah pintar di kediamannya.
Kongsi Jaja, dia amat tertarik dengan sistem rumah pintar kerana baginya ia akan memudahkan urusan seharian dengan hanya memberi arahan lisan.
“Saya suka tengok rumah pintar dan kagum dengan beberapa contoh serta sering terbayang ingin memilikinya sendiri.
“Sistem pintar ini bukan sahaja boleh memantau rumah, tetapi juga mengikut arahan seperti buka, tutup atau laraskan lampu, menghidupkan peralatan elektronik, elektrik dan sebagainya,” tuturnya.















