Aiman Athirah (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoU di antara M. Noor Azman (dua dari kiri) dan Dr. Mohamed Aslam (dua dari kanan).

KPKT manfaatkan kepakaran, inovasi tiga universiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PARA pelajar dan pensyarah di tiga buah universiti awam di negara ini bakal memperoleh manfaat besar dalam aspek penyelidikan berkaitan sektor perumahan dan kerajaan tempatan.
Ia selepas termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menerusi Mou yang diadakan itu, ia akan memberikan manfaat menyeluruh kepada para pelajar dalam melakukan penyelidikan dalam aspek berkaitan dengan KPKT.

Bagi UUM, ia membolehkan pelajar melaksanakan penyelidikan dengan kerjasama KPKT khususnya pihak berkuasa tempatan berkaitan polisi dan hal berkaitan kerajaan tempatan.

Manakala bagi UiTM yang mempunyai lebih 30 kampus pula, MoU itu akan memberikan peluang kepada pelajar mendapatkan pendedahan daripada pihak berkuasa tempatan mengenai pengurusan dan pembangunan bandar.

Mahasiswa dan pesyarah di UIA pula dapat menggunakan MoU itu dalam aspek latihan dan penyelidikan mengenai pembangunan alam sekitar berlandaskan perspektif Islam.

Majlis menandatangani MoU ini disaksikan oleh Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu dengan KPKT diwakili Ketua Setiausahanya, Datuk M. Noor Azman Taib, manakala pihak universiti diwakili Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd Fo’ad Sakdan; Timbalan Naib Canselor UiTM, Prof. Dr. Jamalunlaili Abdullah dan Timbalan Rektor Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan UIAM, Prof. Dr. Mohamed Aslam Mohamed Hanif.

Aiman Athirah berkata, MoU berkenaan merupakan inisiatif bermakna dalam memacu kemajuan I-KPKT sebagai sebuah institut latihan di bawah KPKT yang memainkan peranan penting dalam menyediakan latihan berkualiti selain mencerminkan komitmen KPKT untuk membina sinergi yang kukuh antara jabatan dan institusi pendidikan.

“Setiap universiti membawa kekuatan dan kepakaran tersendiri, UUM dalam bidang kerajaan tempatan, UiTM bidang alam bina khususnya pengurusan dan pembangunan bandar serta UIAM dalam bidang alam bina dan persekitaran islamik,” katanya dalam program yang berlangsung di Bentong, Pahang baru-baru ini.

Gabungan kepakaran ini dilihat bukan sahaja memperkuat asas kerjasama tetapi juga membuka peluang luas untuk meneroka potensi baharu yang lebih besar pada masa hadapan.

“Semoga kerjasama ini menjadi landasan kukuh ke arah pencapaian yang lebih cemerlang,” katanya.

Menurutnya dengan sokongan strategik daripada universiti-universiti terkemuka KPKT yakin dapat mengoptimumkan kepakaran dan inovasi yang tersedia untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan serta infrastruktur yang diberikan kepada rakyat.

Kata Aiman Athirah, langkah ini juga akan membolehkan pembangunan solusi yang lebih mampan, inklusif dan relevan bagi sektor perumahan dan kerajaan tempatan.

“Pendidikan, penyelidikan dan kerjasama strategik dengan institusi-institusi terkemuka merupakan asas kukuh dalam usaha KPKT untuk memperkukuh sektor perumahan dan kerajaan tempatan.

PBT mempunyai bidang-bidang tugas tertentu untuk memastikan kesejahteraan masyarakat. – Gambar hiasan

“Dengan memanfaatkan kepakaran dan inovasi, kita bukan sahaja dapat memenuhi keperluan rakyat dengan lebih berkesan tetapi juga membangunkan dasar serta penyelesaian yang mampan dan inklusif.

“Komitmen ini mencerminkan aspirasi KPKT untuk terus menjadi pemangkin kepada pembangunan Malaysia Madani, memastikan kesejahteraan rakyat dan membentuk masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang,” ujarnya.

Memorandum Persefahaman (MoU) yang julung kali termeterai antara tiga universiti tempatan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) amat signifikan bagi pihak universiti menyalurkan kepakaran yang ada dalam membantu pihak berkuasa tempatan dan masyarakat setempat.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata, MoU tersebut penting kepada UUM yang mempunyai pusat pengajian yang menumpukan kepada isu, polisi dan dasar berkaitan kerajaan termasuk melibatkan kerajaan tempatan.

Beliau berkata, MoU bersama UUM tersebut akan memfokuskan kepada hal-hal berkaitan dengan kerajaan tempatan.

“Kita sedia maklum kerajaan tempatan merupakan kategori atau peringkat kerajaan yang kita lihat merupakan institusi yang penting dalam usaha untuk membangunkan negara.

“Fungsi kerajaan tempatan semakin hari semakin penting terutamanya untuk memastikan kesejahteraan dan juga kebajikan dalam kalangan masyarakat dan komuniti di kerajaan tempatan itu sendiri,” katanya.

Justeru katanya, dengan kerjasama ditandatangani itu menyaksikan UUM berkolaborasi dengan kerajaan tempatan untuk terlibat dalam penyelidikan yang berkaitan kepentingan dan kebajikan bersama antara KPKT dan UUM.

Menjelaskan lanjut mengenai kepakaran yang boleh disumbangkan, Dekan Pusat Pengajian Kerajaan UUM, Prof. Madya PMgr. Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid ketika dihubungi berkata, melalui MoU tersebut mereka akan berkongsi kepakaran yang sememangnya diperlukan oleh kerajaan tempatan.

Menurutnya, di bawah pusat pengajian kerajaan di UUM, terdapat jabatan perancangan pembangunan hartanah dan jabatan pusat awam.

“Kita akan berkongsi kepakaran yang kita ada dalam bidang ini dengan pihak-pihak berkuasa tempatan.

“Dalam MoU ini juga kita diberikan tanggungjawab untuk menyediakan dan memberikan latihan kepada mereka,” katanya.

Terangnya, UUM juga akan berkongsi tentang penyelidikan dan sebagainya berkaitan kerajaan tempatan. Ini kerana, pusat pengajian kerajaan di UUM sememangnya ada menjalankan kajian-kajian berkaitan kerajaan tempatan.

Maka, jelasnya, ada beberapa kajian yang telah dilakukan berpotensi untuk dikongsi dengan pihak kerajaan tempatan.

“Misalnya, kita ada melakukan kajian berkaitan dengan penjanaan pendapatan pihak berkuasa tempatan.

“Selain itu, kita juga ada beberapa kajian lain yang akan dihantar ke I-KPKT untuk pertimbangan mereka.

“Secara ringkasnya, untuk MoU ini, sumbangan kita adalah melibatkan latihan, kajian dan penerbitan kepada I-KPKT,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Rektor Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Mohamed Aslam Mohamed Hanif berkata, pihak universiti menyokong penuh MoU seperti itu yang merupakan cara kerjasama antara pihak akademik dan pihak luar termasuk
KPKT.

“Apa yang saya faham ini adalah MoU yang melibatkan latihan dan penyelidikan daripada pihak UIAM untuk memberi input daripada perspektif islamik bagi pembinaan persekitaran KPKT.

“Memang ini kepakaran kita dalam perspektif islamik, pembangunan persekitaran dan kita ada pakar-pakar dalam bidang ini,” katanya.

Kordinator Pejabat Jaringan Industri Komuniti Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak, Norazalina Yusnita Abdul Rahman pula berkata, MoU tersebut akan melibatkan kesemua kampus UiTM di seluruh negara.

Kata Norazalina Yusnita, untuk MoU itu, UiTM akan menumpukan pembangunan bandar dan perbandaran termasuk meningkatkan kompetensi di peringkat kerajaan tempatan, percukaian, kewangan dan ekonomi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN