TAPAH – Berbuka puasa di masjid bukan sahaja dapat mengimarahkan rumah ibadat, malah orang ramai dapat menjimat perbelanjaan yang boleh digunakan untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Seorang suri rumah, Shazaa Humairah Shafaruddin, 38, berkata, dia memilih berbuka puasa di Masjid Jamek Air Kuning bersama tiga anaknya sejak hari pertama Ramadan.
“Banyak wang dibelanjakan untuk membeli barangan keperluan sekolah anak dan yuran, jadi dengan berbuka puasa di masjid dapatlah saya dan suami yang bekerja di ladang sawit berjimat.
“Saya masih belum fikir tentang persiapan Aidilfitri, mungkin (pakai) apa yang ada sahaja,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut wanita itu, selain dapat berbuka bersama jiran, tugasannya menjadi ringan apabila hanya perlu menyediakan lauk-pauk untuk bersahur.
Bagi mualaf, Ravi Abdullah, 43, peluang berbuka puasa di masjid membolehkannya bergaul dengan umat Islam selain menunaikan solat tarawih.
“Ramadan hanya sekali dalam setahun. Ini merupakan tahun pertama saya bergelar mualaf dan ia menyeronokkan,” katanya.
Pengerusinya, Omar Shah Haji Ismail, 58, pula berkata, seramai 60 hingga 70 orang berbuka puasa di masjid itu sejak beberapa tahun lalu.
“Malah, ada keluarga yang berbuka di masjid kerana mahu berjimat untuk persiapan Aidilfitri. Ada juga yang berbuka di sini bagi memudahkan mereka tunai solat tarawih,” katanya.
















