fbpx
Tangkap layar menunjukkan aksi salah seorang lelaki yang melompat ketika merompak sebuah kedai emas di Nilai kelmarin.

‘Perompak sudah target, ini kali ketiga kena samun’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – “Perompak seakan sudah ‘target’ barang kemas keluaran raya di kotak pame­ran di sebelah sana. Mereka terus melompat ke situ dan mengugut (pekerja) supaya segara membukanya.”

Itu kata seorang pengurus kedai emas dikenali sebagai Susan, 54, yang menjadi saksi kejadian rompakan di premisnya yang terletak di sebuah pasar raya, di sini malam kelmarin.

Menurutnya, dua perompak tiba-tiba memasuki premis dengan memakai topeng serta bersenjata sebelum mengambil masa lebih kurang dua minit dan kemudian melarikan diri bersama sejumlah barang kemas.

“Terkejut juga saya, ingatkan pistol mainan, tetapi rupanya pistol betul. Ketika itu saya berada di kaunter sedang memegang barang kemas untuk dimasukkan ke dalam bekas.

“Khuatir juga jika perompak itu menyuruh saya keluarkan wang. Nasib baik perompak ter­babit hanya ke kaunter luar.

“Kemudian, suspek terus melarikan diri selepas pekerja mengikuti arahan mengeluarkan emas di dalam kotak pameran,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Terdahuu, kedai emas di sebuah pasar raya di Nilai di sini bukan hanya sekali menjadi sasaran perompak, malah premis terbabit sudah tiga kali dirompak termasuk kejadian terbaharu malam kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 8.36 malam selepas pengunjung selesai berbuka puasa itu, dua penjenayah bertopeng melulu masuk ke dalam kedai emas tersebut dan mengambil pelbagai barang kemas dari kotak pameran.

Ketika rompakan, suspek turut menggunakan senjata api untuk menakut-nakutkan pekerja premis supaya mengikut segala arahan diberi.

Rakaman video mengenai rompakan itu juga tular di media sosial apabila orang ramai yang berada berdekatan kedai emas sempat merakamnya.

Sementara itu, tinjauan Kosm­o! pula mendapati, kedai emas yang dirompak telah beroperasi seperti biasa. Premis itu sebelum ini juga pernah dirompak dua kali.

Video itu memaparkan saat cemas pekerja kedai emas berhadapan dengan perompak yang turut memakai sarung tangan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, polis menerima panggilan melalui MERS 999 daripada pemanggil seorang perempuan Melayu yang memaklumkan terdapat rompakan di dalam sebuah pasar raya di Nilai.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai ditugaskan ke lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati, kejadian rompakan berlaku pada pukul 8.36 malam.

“Suspek disyaki seramai tiga lelaki yang menaiki sebuah ken­deraan dan dua suspek telah masuk ke dalam premis, manakala seorang lagi menunggu di dalam kereta.

“Selepas mengambil sejumlah barang kemas, mereka melarikan diri,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, dalam kejadian itu, tiada sebarang kecederaan berlaku dan jumlah sebenar kerugian yang dialami pemilik premis masih dalam penilaian.

Gerakan memburu kesemua suspek sedang dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Nilai di talian 06-7904222.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN