ALOR SETAR – Seorang wanita warga emas maut dalam keadaan tragis apabila dia dipukul sebelum dibakar di ruang tamu rumah oleh anak lelakinya yang berstatus orang kurang upaya (OKU) mental di Kampung Tok Keling di sini kelmarin.
Kejadian menyayat hati itu berlaku pada pukul 7.48 pagi dipercayai berpunca daripada tindakan suspek yang mengamuk selepas mangsa berusia 68 tahun dikatakan menutup suis televisyen dan memintanya untuk memakan ubat penenang.
Menurut jiran, Mohd. Khalil Ismail, 48, dia difahamkan kejadian amuk itu berlaku pada waktu sahur dan ketika itu suspek yang berusia 43 tahun dikatakan masih menonton televisyen sejak dari semalamnya.
“Mungkin sebab itu suspek mengamuk sebelum memukul ibunya. Mungkin juga ada tekanan lain yang dialami suspek yang kita tidak tahu,” katanya ketika ditemui di kampung tersebut semalam.
Katanya, mangsa dikenali dengan panggilan Tok Chah dan mayatnya ditemukan dalam keadaan terbakar di dalam rumah berkenaan.
“Rumah itu didiami dua beranak tersebut bersama seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun yang juga anak kepada suspek.
“Ketika kejadian, kanak-kanak itu sempat berlari keluar ke rumah bapa saudaranya untuk meminta tolong sebelum polis tiba.
“Anak suspek juga ada datang ke kawasan berhampiran rumah dan memaklumkan kepada ibu saya tentang kejadian itu. Ibu memang biasa jumpa dan berbual dengan Tok Chah,” katanya.
Katanya lagi, suspek dikatakan pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan dan sepanjang pengetahuannya, lelaki itu tidak pernah mengamuk sehingga mencederakan orang lain.
“Ada masa-masa tertentu sahaja yang dia jadi kurang waras, dia ada lari keliling kampung tidak berpakaian, namun tidak kacau orang.
“Kali ini tindakannya sangat kejam, sebab itu saya tidak berapa pasti. Saya rasa kalau dia sedar, dia tidak akan buat macam itu,” dakwanya.
Menurut beliau, sehari sebelum kejadian, suspek dikatakan berkelakuan normal dan sempat membawa ibunya keluar membeli makanan dan pergi ke bank dengan menunggang motosikal.
“Memang tidak sangka, sebab ibu dia yang sediakan bekal makanan setiap kali suspek mahu keluar bekerja sebelum ini,” katanya sambil memberitahu suspek telah bercerai sejak beberapa tahun lalu.
Seorang lagi penduduk, Nor Afifah Mohd. Shahbudin, 38, berkata, dia tidak begitu rapat dengan keluarga tersebut, tetapi memang mengenali mangsa dan suspek.
“Tiga sekeluarga itu jarang bergaul dengan penduduk di sini, mereka hanya buat hal sendiri. Saya hanya tahu suspek mempunyai masalah mental dan setahu saya, dia tidak pernah buat masalah sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, seorang lelaki dipercayai saudara mangsa memberitahu, anak dan cucu kepada warga emas itu masih dalam keadaan trauma dan enggan ditemui orang luar.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima panggilan MERS999 berhubung satu kejadian amuk di sebuah rumah kampung di lokasi tersebut kira-kira pukul 7.48 pagi semalam.
“Sepasukan polis diarah ke lokasi kejadian untuk tindakan awal sejurus maklumat diterima. Sebaik tiba di lokasi, polis telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki dipercayai suspek yang dikatakan mengamuk seperti dilaporkan.
“Pemeriksaan lanjut polis menemui satu mayat dalam keadaan terbakar di dalam rumah tersebut dipercayai telah dibunuh,” katanya. -KOSMO! ONLINE














