fbpx
Gambar fail orang ramai beratur panjang untuk mengemas kini Akaun Tiga KWSP di ibu pejabat KWSP di Kuala Lumpur.

Rakyat lega, lebih yakin kepada KWSP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pengumuman kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun 2024 sebanyak 6.3 peratus untuk kedua-dua Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional mendapat reaksi positif daripada pencarum.

Rata-rata mereka menyifatkan kadar dividen yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya sebagai berita baik, terutama dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

Seorang pekerja swasta, Ahmad Faizal Ismail, 38, berkata kenaikan dividen ini memberi kelegaan kepada pencarum yang bergantung kepada simpanan KWSP untuk masa depan.

“Alhamdulillah, tahun ini naik lebih tinggi. Memang banyak membantu, terutama bagi mereka yang merancang persaraan atau ingin menggunakan sebahagian simpanan untuk keperluan tertentu,” katanya kepada Kos­mo! Ahad.

Bagi seorang pesara kerajaan, Ishak Manaf, 66, berkata pe­ningkatan kadar dividen ini memberikan keyakinan kepada rakyat terhadap kestabilan KWSP sebagai institusi simpanan persaraan utama negara.

“KWSP pernah beri dividen 8.5 peratus suatu ketika dahulu, tetapi dalam keadaan sekarang, 6.3 peratus pun sudah cukup baik.

“Saya harap trend ini berterusan agar pencarum terus mendapat manfaat,” ujarnya.

Sementara itu, bagi seorang lagi kakitangan sebuah syarikat ultiliti yang mahu dikenali sebagai Saiful, 35, berkata, pengumuman dividen tersebut nyata melegakan ketika mereka sedang bergelut untuk melakukan persiapan perayaan.

“Tak sabar nak tunggu berapa banyak jumlah yang akan dima­sukkan ke dalam akaun tiga nanti kerana duit dalam itu (akaun tiga) akan digunakan untuk menampung keperluan raya.

“Walaupun jumlah tidaklah banyak, tapi sekurang-kurang dapatlah kami tambah untuk beli baju raya dan persiapan lain nanti,”kata anak jati Pasir Mas, Kelantan itu.

Turut senada dengan Saiful adalah seorang kakitangan sebuah syarikat lebuh raya Azli Harun, 50, yang turut akan menggunakan wang dalam akaun tiga sebagai persiapan raya dan membayar cukai jalan kereta.

“Alhamdulillah, dari tahun lepas lagi memang saya niat nak simpan duit dalam akaun tiga sehingga pengumuman dividen. Sebab kalau dividen banyak nanti bolehlah keluarkan kalau terdesak

“Terima kasih juga kepada KWSP kerana telah memberikan dividen yang tinggi pada tahun ini. Semoga tahun hadapan pres­tasi dan dividen KWSP akan le­bih tinggi,” kata bapa kepada lima anak itu.

Kakitangan swasta, Fairuz Mohd. Shahar, 39, dia bersyukur kerana pengumuman dividen itu bukan sahaja menambah simpanan pencarum, malah satu perkembangan positif.

“Lebih-lebih lagi keadaan ketidaktentuan ekonomi dan turun naik pasaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Sudah tentu ini berita baik dan ia kadar tertinggi sejak 2017.

“Sebagai pencarum, ini memberi keyakinan bahawa simpanan persaraan kita terus berkembang pada kadar yang kompetitif.

Semalam, KWSP mengumumkan kadar dividen 2024 yang lebih tinggi, iaitu sebanyak 6.3 peratus peratus untuk kedua-dua Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN