THAILAND merupakan destinasi percutian yang menawarkan pelbagai tarikan tersendiri.
Negara jiran kita itu juga menjadi lokasi percutian pilihan saya dan hampir semua destinasi percutiannya sudah saya terokai.
Baru-baru ini, saya dan rakan-rakan kembali lagi ke Phuket yang juga merupakan salah satu lokasi kesukaan saya di Thailand.
Pada percutian selama tiga hari dua malam itu, saya memfokuskan kepada aktiviti kafe hunting dan menikmati keindahan pantai yang menjadi signatur percutian di Phuket.
Perjalanan kami ke Phuket bermula seawal pukul 10 pagi dengan menaiki pesawat dari Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2).
Setibanya di sana, kami memulakan aktiviti kafe hunting di sebuah restoran tular iaitu Ma Doo Bua Cafe.
Kafe ini menampilkan tarikan unik dengan konsep resort, kedai makan di tepi tasik yang dipenuhi pokok teratai dan cukup estetik untuk bergambar.
Pengunjung juga boleh bergambar di tepi tasik atau menggunakan perkhidmatan fotografi serta video menerusi dron yang ditawarkan di kafe berkenaan.
Kami menjamu selera di Ma Doo Bua Cafe yang menampilkan pelbagai sajian autentik Thailand dan fusion.
Aktiviti kami seterusnya adalah free and easy (bebas) sambil berehat di hotel sebelum mencari makanan jalanan di Patong Beach.

Lokasi ini merupakan tempat kunjungan utama pelancong yang meriah dengan pelbagai hiburan serta makanan jalanan.
Antara menu wajib yang kami cuba adalah Nutella pancake, lok ching, ayam goreng Thailand dan lain-lain.
Pada hari kedua, kami meneruskan misi pemburuan kafe dengan mengunjungi kafe Phuket View Point.
Lokasi ini juga popular dalam kalangan pelancong kerana terletak di tepi tebing yang menghadap pantai.
Untuk memasuki kafe ini, pengunjung wajib membeli makanan dan minuman dalam menu mereka yang dijual pada harga berpatutan.
Kafe ini turut menyediakan pelbagai sudut menarik untuk bergambar dan yang paling saya gemari adalah piano berhadapan dengan laut.
Perjalanan kami seterusnya adalah ke Old Phuket Town yang juga menjadi lokasi bergambar wajib buat para pelancong.
Di sini terdapat banyak kedai menarik yang masih mengekalkan binaan asal dengan gaya klasik.

pokok teratai.
Selain itu, terdapat banyak kedai yang menjual buah tangan dan saya juga tidak melepaskan peluang membeli teh jenama khas dari Phuket sebagai cenderamata.
Hari ketiga di Phuket dikhaskan untuk island hopping yang menjadi aktiviti wajib setiap kali saya ke sini.
Kali ini, saya mengambil pakej yang meliputi beberapa pulau, pantai dan lokasi menarik untuk aktiviti selam snorkel.
Antara lokasi yang kami kunjungi adalah Phi Phi Island, Maya Beach, Khai Nai Island, Phi Phi Don dan Maya Bay.
Apa yang boleh saya katakan, kunjungan kali ini tidaklah menghampakan.
Namun disebabkan musim hujan, perjalanan kami meredah lautan amat mencabar dengan ombak kuat.
Secara keseluruhannya, Phuket masih memberikan saya dan rakan-rakan kenangan manis yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.














