MAHU berusaha sendiri dan enggan menyusahkan ibu bapa, seorang mahasiswa sanggup bekerja separuh masa separuh masa sebagai pegawai pemasaran dan model sambilan dalam bidang solekan andaman bagi menampung perbelanjaan pengajian.
Gadis manis bernama Nur Aqilah Murat, 22, pelajar tahun tiga Jurusan Kejuruteraan Elektrikal di Fakulti Elektrik dan Elektronik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, Johor ini nekad tidak mahu mengharapkan duit poket daripada ibu dan bapanya kerana baginya mereka telah banyak berkorban untuk dirinya.
Berasal dari Chenor, Pahang, Nur Aqilah turut berhasrat membahagiakan kedua-dua ibu bapanya selepas bekerja nanti.
Dia kini ingin melupakan masa silam dan bergerak terus ke hadapan dengan tekad untuk menggenggam segulung ijazah bagi membuatkan orang tuanya berbangga dengan apa yang dicapainya dalam hidup.
Kepada Pesona Ahad, Nur Aqilah 22,mencurahkan isi hati mengenai diri serta harapan masa hadapannya.
Ceritakan serba sedikit mengenai diri anda?
Saya merupakan anak bongsu daripada empat orang adik-beradik terdiri daripada dua orang abang serta seorang kakak.
Bapa saya seorang pesara penjawat awam, manakala ibu pula suri rumah sepenuh masa.
Apa yang membuatkan anda mengambil keputusan bekerja sambilan bagi menampung pembiayaan di universiti?
Melihat kepada cabaran yang terpaksa dihadapi oleh kedua ibu bapa untuk membesarkan kami adik-beradik selama ini, saya mengambil keputusan mencari pendapatan sampingan sebagai model solekan andaman di Muar dan Batu Pahat.
Daripada setiap peragaan solekan dan pakaian pengantin itu, saya memperoleh pendapatan antara RM100 hingga RM300 dan kerja ini dilakukan ketika hujung minggu kerana tidak mahu mengabaikan sesi pembelajaran.
Saya turut bekerja sambilan sebagai pegawai pemasaran bagi memasarkan apa-apa produk khususnya berkaitan soal kecantikan yang sesuai dengan minat sejak di sekolah menengah.
Apakah kenangan bersama ibu bapa yang tidak dapat dilupakan sebelum menjejakkan kaki ke menara gading?
Perkara yang sentiasa saya kenang sampai bila-bila ialah ketika membantu ibu dan bapa berjual sayur-sayuran di pasar pagi di Maran.
Dengan jarak perjalanan kira-kira 45 minit dari rumah menggunakan sebuah van lusuh untuk membawa barang-barang jualan dirasakan amat memeritkan serta perlu keluar berniaga sebaik selesai solat Subuh.
Keadaan ini membuatkan saya sesekali berasa sayu apabila terlihat orang-orang berjual di tepi jalan atau pasar pagi di Batu Pahat ini kerana sudah merasai kepayahan hidup ketika mengharungi zaman remaja sebelum ini.

Apa yang akan anda akan lakukan sebaik bergelar graduan nanti ?
Sebaik menamatkan pengajian, terlebih dahulu saya akan membina kerjaya selari dengan kelulusan sebelum berhasrat menyambung pembelajaran ke peringkat lebih tinggi seperti peringkat sarjana atau doktor falsafah (PhD).
Semua ini dilakukan demi untuk memastikan kedua ibu bapa yang telah membesar dan memberi pendidikan kepada kami empat beradik dapat menikmati kehidupan hari tua tanpa perlu lagi membanting tulang.
Saya bertekad untuk berbakti kepada mereka selagi nyawa dikandung badan.
Bagaimana pula dengan kehidupan diri anda selepas berjaya dalam pelajaran nanti?
Sehingga kini tumpuan hanya terarah untuk membahagiakan kedua ibu bapa terlebih dahulu, kerana mereka adalah inspirasi kepada kejayaan anak-anaknya.
Untuk soal kehidupan diri, kejayaan masa hadapan menjadi perkara utama dan ibu bapa sebagai orang yang akan memainkan peranannya.
Apakah tiga perkara tentang anda yang orang tidak tahu?
Mungkin kalau saya ceritakan sukar untuk mempercayainya, tetapi bagi mereka yang mengenali saya pasti mengetahui perkara tersebut.
Pertama, aya sebenarnya seorang yang susah untuk marah walau berhadapan dengan apa jua situasi. Selain itu saya boleh dikatakan introvert pada mulanya, tetapi lama-
kelamaan selepas kenal, saya lebih friendly dan senang didekati.
Lagi satu, saya seorang yang sukakan kanak-kanak.














