fbpx
Bergambar kenang-kenangan di Teluk Kabui dengan dikelilingi gugusan pulau-pulau batu kecil manakala gambar kanan Papuan blackbass yang berjaya saya naikkan dengan gewang Duo Fangbait 120DR.

Menjejak blackbass di tanah asalnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pulau Waigeo, Papua Barat, Indonesia ini terkenal dengan aktiviti melihat burung cenderawasih (bird of paradise) yang dikatakan hampir pupus di habitat semula jadinya dan lokasi untuk aktiviti menyelam.

Namun, itu bukanlah objektif utama kami. Target kami ke sini tidak lain tidak bukan adalah meman­cing blackbass.

Di sini, ikan dengan nama saintifik­nya Lutjanus goldiei daripada famili Lutjanidae ini lebih dikenali di seluruh dunia sebagai Papuan blackbass.

Dikatakan di tanah Papua inilah ikan ini mula-mula dipancing dengan teknik sukan memancing iaitu menggunakan joran, kekili dan gewang.

Ke tanah Papua

Untuk menuju ke lokasi ini, kami perlu menggunakan penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur seterusnya ke Jakarta. Dari Jakarta kami menaiki penerbangan domestik ke Sorong, Papua Barat, Indonesia.

Keseluruhan penerbangan mengambil masa hampir 48 jam dan kami tiba di Kota Sorong seawal pukul 6.50 pagi waktu tempatan. Dari Kota Sorong, kami terpaksa menaiki feri penumpang selama dua jam untuk ke Pulau Waigeo pula.

Di Pulau Waigeo inilah kami akan bermalam di chalet sebelum meneruskan agenda utama iaitu memancing. Sudah semestinya, sasaran utama kami adalah Papuan blackbass atau dipanggil ‘banat’ di sini.

Bot pancing

Pada awalnya, kami merasa sedikit gusar kerana di sini terkenal dengan ‘perahu tebuk’ dalam kalangan penduduk tempatannya. Perahu tebuk merupakan perahu kayu tradisional di mana batang pokok ditebuk.

Perahu tebuk ini sukar diken­dalikan melainkan orang yang sudah biasa dan dapat menstabilkan badan dengan baik.

Suasana di salah satu desa di Waigeo.

Orang luar seperti kami berbadan besar berbanding dengan penduduk tempatan. Perahu sebegini senang terbalik dan saya semestinya tidak mahu termasuk ke dalam air yang dipenuhi buaya.

Namun, ternyata tanggapan kami jauh meleset kerana semua bot pan­cing yang disediakan adalah bot fiber moden dan menggunakan enjin sangkut jenama Yamaha dengan 15 kuasa kuda dan ada yang menggunakan 40 kuasa kuda.

Saiz botnya juga panjang dan lebar, selesa untuk empat orang pada satu-satu masa.

Peranti pancingan
Sebelum ini, saya pernah pergi ke Pulau Seram yang terletak di Kepulauan Maluku, Indonesia untuk menjejak spesies blackbass ini. Walaupun berjaya menaikkan beberapa ekor spesies ikan ini termasuk spesies ikan

Spot tail bass, namun saiznya rata-rata hanya di bawah enam kilogram (kg) .

Set pancingan ketika itu tidak cukup ampuh untuk menaikkan spesimen yang lebih kasar kerana tali utama dan perambut banyak kali terputus akibat benaman padu ikan terus ke struktur di dalam air seperti reba-reba berupa batu dan kayu.

Jadi, trip ke Pulau Waigeo ini kami lebih bersedia dengan saya dilengkapi joran khas travel seperti Bone Voyage Expedition PE2-4 dan juga Tulala Aventura berkekuatan PE12.

Kekili pula saya guna kekili menegak Daiwa Lexa 300WN dan juga LEXA 300 yang merupakan model lama dengan kekuatan drag sehingga 10kg.

Rakan-rakan lain juga berbekalkan pelbagai jenis joran dari kekuatan PE3 sehinggalah ke PE12.

Tali sulam untuk tali utama juga sekitar 50 sehingga 80 paun (lb) dengan perambut sehingga 120lb.

Walaupun menggunakan set pan­cingan berkekuatan tinggi seperti ini, namun saya tetap juga dibuli sebanyak dua kali.

Kes pertama, perambut berkekuatan 120lb saya putus dan kes kedua pula, ikan berjaya meloloskan diri apabila meluruskan mata tiga jenama BKK RaptorZ 5X yang saya gunakan.

Gewang

Trip ini kami mempraktikkan 100 peratus teknik mengilat (casting)
menggunakan gewang daripada jenis permukaan, selaman cetek sehingga-
lah selaman dalam hingga enam meter.

Saya berjaya menaikkan beberapa ekor ikan siakap merah dengan gewang permukaan seperti Duo Pencil 130.

Beberapa ekor Papuan blackbass telah berjaya saya naikkan dengan gewang selaman sekitar dua hingga ke empat meter (m) seperti gewang Storm Thunderbarra Deep dan Duo Fangbait 120/140 SR/DR.

Alvin cukup bertuah kali ini kerana berjaya menaikkan Papuan blackbass dengan menggunakan gewang permukaan Duo Pencil 130.

‘Letupan’ di permukaan air sememangnya amat memeranjatkan. Tidak ketinggalan, Julian dan Sunny juga berjaya menaikkan beberapa ekor ikan Papuan blackbass yang menjadi idaman.

Apa yang menjadikan trip ini sangat istimewa adalah kerana kami berjaya menjejak spesies Papuan blackbass terus di tanah asalnya di bumi Papua Barat.

Semoga anda semua sentiasa dimewahkan rezeki dan suatu hari nanti akan berjaya merasa tentangan spesies ikan yang sungguh perkasa ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN