Hampir semua kampung di kawasan Seri Medan, Batu Pahat, Johor bermula dengan nama ‘Parit’, merujuk kepada wujudnya sistem pengairan bagi kawalan banjir yang sering terjadi pada masa dahulu.
Selain itu, parit kecil dibina sebagai sempadan kebun bagi mengelak kebakaran merebak ke kebun bersebelahan, lantaran tanah gambut sering menyebabkan kebakaran sukar dipadamkan.
Saliran perparitan ini kesemuanya menuju ke Sungai Simpang Kiri sebelum menuju ke Laut Selat Melaka di Batu Pahat. Melalui sungai ini juga, aktiviti pengangkutan menggunakan tongkang hasil perlombongan bijih besi yang terkenal sebelum Perang Dunia Kedua aktif dijalankan.
Lapangan baharu
Sebelum ini, saya hanya aktif menduga parit di tepi jalan sekitar kampung bagi merasai tarikan sambaran rakus si ikan haruan untuk mengenang kembali nostalgia sewaktu memulakan hobi memancing.
Kini, saya dan rakan-rakan membuka lapangan baharu untuk meneruskan aktiviti ini dan meluaskan kawasan pancingan memandangkan bertambahnya bilangan pemancing terutamanya dalam kalangan belia yang merupakan pelapis muda.
Laman heaven
Sebelum ini, tidak terfikir untuk menjadikan sungai sebagai ‘padang’ pancing disebabkan kurang akses dari daratan. Namun, setelah banjir besar pada tahun lalu yang melanda kawasan Sri Medan, ia menjadi pemacu aktiviti ini.
Saya dan rakan-rakan membeli bot gentian kaca untuk persediaan ketika banjir, namun berasa rugi jika dibiarkan begitu sahaja.
Oleh itu, kami mula menyediakan perkhidmatan sewa bot, di samping menjalankan hobi apabila ada waktu terluang.
Sungai Simpang Kiri yang terletak di Kampung Parit Laman menjadi lokasi aktiviti ini dan diberi nama ‘Laman Heaven’ memandangkan masih belum ada lagi aktiviti memancing terutamanya mengilat menggunakan bot di sepanjang sungai di kampung kami.
Habitat buaya
Selain ikan, sungai ini juga merupakan habitat semula jadi buaya. Beberapa kejadian penampakan susuk buaya telah direkodkan dan saya juga pernah bertembung dengan sang bedal tersebut.
Namun, beberapa kawasan sahaja ‘penunggu’ ini muncul dan tidak pernah diberitakan tentang perkara tidak diingini berlaku, walaupun terdapat banyak kediaman berhampiran sungai.
Amaran oleh pihak berwajib juga telah dipaparkan supaya semua mengambil langkah berhati-hati dan tidak leka serta menjauhkan diri dari habitatnya.
Oleh itu, bagi pemancing luar yang ingin menduga lapangan pancing ini, anda disarankan mendapatkan khidmat pemandu pancing (guide) tempatan untuk mengelak pertembungan dengan pemangsa ini.
Air pasang
Sungai ini dipengaruhi oleh pasang surut air laut, tetapi mempunyai jarak masa anggaran satu jam berbanding keadaan air pasang surut di muara Sungai Batu Pahat.
Waktu sesuai memancing adalah ketika air hampir surut atau hampir pasang sepenuhnya kerana arus akan mula bergerak perlahan untuk memudahkan kawalan bot supaya tidak hanyut terlalu laju.
Setakat ini, hasil tangkapan tidak dipengaruhi oleh pasang surut air melainkan untuk memudahkan pengendalian bot sahaja. Disebabkan waktu saya balik ke kampung tidak menentu, saya menggunakan bantuan enjin elektrik (thruster) bagi memudahkan kawalan bot.

Set sesuai
Penggunaan set pancing aksi ringan (light action) dan pertengahan (medium action) sudah memadai untuk menduga lapangan pancing ini kerana tabiat ikan haruan yang bersaiz kasar kebiasaannya menyambar umpan tiruan (gewang) di luar kawasan berumput tebal.
Saya menggunakan joran dengan kekuatan 4-10lb hingga 8-16lb sahaja dipadankan tali utama 15 hingga 20lb dan perambut (shock leader) 20 sehingga 30lb.
Penggunaan set pancing yang sesuai amat membantu menjimatkan tenaga terutamanya apabila memancing sepanjang hari.
Setiap suak air yang berarus tenang wajib dicuba kerana di situ tempat ikan haruan ‘bersemayam’. Seperti kebiasaan, lontaran gewang perlu diulang beberapa kali di tempat yang sama bagi meningkatkan potensi sambaran.
Gewang
Pemilihan gewang untuk haruan pada umumnya tidaklah begitu sukar. Namun di lapang pancing ini, saya lebih gemar menggunakan gewang jenis soft frog (katak getah) yang mempunyai bilah kipas.
Ketika air surut, ikan haruan akan membenamkan diri ke dalam lumpur. Oleh itu, umpan tiruan yang membuat bunyi bising dan berkilat mampu menarik perhatian sang pemangsa.
Waktu air besar pula, ikan haruan akan naik ke kawasan berhampiran tebing mencari arus yang lebih tenang. Disebabkan sepanjang sungai dipenuhi rumput benta, maka kami perlu menggunakan gewang yang mampu menarik perhatian ikan. Bagaimanapun, tidak mengapa jika ingin membuat kepelbagaian dalam pemilihan gewang jika memancing di sini.
Memori baharu
Mengenang nostalgia lama bersama rakan-rakan sememangnya menyeronokkan apatah lagi dapat meneroka lapangan dan mencipta memori baharu.
Ikan yang diperoleh kebiasaannya diberi kepada jiran tetangga yang memerlukan dan banyak dilepaskan semula ke parit-parit berhampiran rumah di kawasan kampung bagi menambah stok ikan haruan bagi generasi baharu menikmati ragutan rakus spesies ini.
Diharapkan pada masa akan datang, lebih ramai pelapis yang dapat meneruskan aktiviti ini daripada membuang masa ke arah perkara tidak bermanfaat.














