fbpx
Suami isteri yang membuka perniagaan bersama berisiko tinggi mengalami masalah jika pasangan itu bercerai. - GAMBAR HIASAN

Bukan semua bisnes suami isteri itu indah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALANGKAH bahagianya sekiranya suatu perniagaan yang diusaha sama oleh suami dan isterinya beroleh kejayaan besar sehingga mampu membina empayar yang gah serta dikenali umum.

Semestinya sudah ditanam satu impian buat pasangan ini menggunakan frasa ‘bersama hingga ke jannah’ dengan memasukkan istilah perniagaan yang ditubuhkan mereka.

Namun, harus diingatkan setiap keputusan yang dilakukan itu perlulah berpijak di bumi yang nyata kerana cabaran mengemudi perniagaan bersama pasangan rumah tangga lebih tinggi berbanding mengusahakannya secara berasingan.

Dalam konteks perusahaan di Malaysia, acap kali kita disajikan dengan kisah-kisah indah pasa­ngan berumah tangga mengusahakan perniagaan bersama sehingga menarik minat masyarakat secara khusus pasangan berumah tangga untuk mencebur dunia perniagaan.

Apa yang tidak didedahkan secara meluas adalah berkenaan risiko dan liabiliti yang timbul dalam perniagaan yang diusaha secara bersama sehingga menyebabkan perusahaan gulung tikar, aset-aset peribadi dilelong dan disita, hatta apabila melibatkan pertikaian rumah tangga, maka segala aset perusahaan dituntut oleh pasangan di mahkamah.

Di Malaysia, uniknya, bagi rakyat beragama Islam, dua sistem undang-undang negara yang digunakan ialah undang-undang sivil dan undang-undang syariah.

Hal ini kerana apa-apa perkara yang menyentuh perihal peribadi seorang Muslim dalam konteks rumah tangga pasangan adalah di bawah Senarai II – Senarai Ne­geri di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang mana Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara yang memberikan bidang kuasa khusus kepada Mahkamah Syariah ke atas pasangan berumah tangga Muslim.

Malah peruntukan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan secara jelas mengasingkan bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah menurut ruh dan semangat di sebalik pindaan Perkara 121(1A).

Secara tuntasnya, apabila timbul perkara atau perihal melibatkan pasangan berumah tangga Muslim dalam hal perkahwinannya termasuk tetapi tidak terhad kepada tuntutan harta sepenca­rian maka Mahkamah Syariah berbidang kuasa untuk menentukan hak-hak pasangan tersebut menurut hukum syarak dan undang-undang bertulis.

Sementara dalam konteks perusahaan atau perniagaan di Malaysia, undang-undang terpakai bagi perihal perniagaan dan kaitannya ini adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil seperti Akta Syarikat 2016 , Akta Perkongsian 1961, Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2001 (SSM), Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 dan lain-lain.

Liabiliti Berniaga

Dalam konteks pasangan berumah tangga yang menjalankan perniagaan bersama perlu pertimbangkan dengan mendalam liabiliti yang telah timbul, sedang timbul dan bakal timbul dalam konteks undang-undang.

Penulis mendefinisikan liabiliti yang telah timbul kepada suatu liabiliti atau tanggungan yang pernah dihadapi oleh pasa­ngan berniaga bersama tidak kira sama ada liabiliti tersebut berjaya diselesaikan dengan jayanya atau sebaliknya.

Sebagai contoh, dalam situasi perniagaan jenis enterprise yang mana pemiliknya adalah suami dan isteri, apabila berlaku pergaduhan antara pasangan dalam suatu tempoh masa singkat, kesannya dibawa ke perniagaan enterprise tersebut di mana berlaku situasi isteri berperanan dalam pengurusan perniagaan tersebut enggan hadir ke pejabat atau kedai beberapa hari menyebabkan pengoperasian perniagaan tidak dapat berjalan dengan lancar.

Ya benar, selepas si isteri telah memperoleh kesedaran perniagaan bersama suami tersebut memberi imej yang negatif kepada pembekalnya, maka liabiliti tersebut diatasi dengan segera dilunaskan liabiliti kewangan yang timbul.

Di sini, impak liabiliti tersebut adalah kepada kedua-dua pasangan tersebut. Bagi Liabiliti yang sedang timbul didefinisikan sebagai suatu liabiliti yang sedang berlaku dan kekal berlaku ke atas perniagaan pasangan suami isteri tersebut.

Contohnya, pasangan tersebut menubuhkan perniagaan syarikat sendirian berhad di mana kedua-duanya merupakan pengarah syarikat. Kedua-dua pasangan tersebut didaftarkan sebagai pembuat (maker) dan penyemak (checker) masing-ma­sing di bank syarikat didaftarkan.

Apabila perbalahan timbul secara berterusan antara pasangan suami isteri tersebut, maka liabi­liti tersebut sedang dan kekal timbul bagi perniagaan berkenaan di mana isteri selaku checker enggan meluluskan segala transaksi syarikat menyebabkan segala urusan perniagaan syarikat terganggu.

Di sini liabiliti tersebut akan kekal timbul sehingga berlaku pertukaran checker di bank syarikat didaftarkan yang memerlukan tandatangan isteri selaku pengarah bersama syarikat tersebut.

Selagi isteri tidak menurun­kan tandatangannya bagi tujuan tersebut atau meluluskan transaksi syarikat, maka tergendala segala urusan perniagaan syarikat kekal antara lain, hutang pembekal syarikat tidak dapat dijelaskan mengikut tempoh masa ditetapkan, urusan penggajian dan/atau imbuhan bulanan syarikat tidak dapat dijelaskan mengikut tempoh masa ditetapkan termasuk caruman KWSP dan Perkeso selagi mana isteri checker itu tidak bertindak.

Penulis selanjutnya memberi definisi liabiliti yang bakal timbul bagi perniagaan yang diusaha sama oleh pasangan berumah tangga. Susulan situasi di atas, liabiliti yang bakal timbul akibat keengganan isteri selaku checker tadi untuk meluluskan segala transaksi syarikat tersebut, maka kedua-dua pasangan bakal menghadapi liabiliti undang undang seperti tindakan mahkamah oleh

KWSP dan Perkeso di bawah akta masing masing, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di bawah Akta Kerja 1955 atau Jabatan Perusahaan Malaysia di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967 sekiranya pekerja pekerja syarikat tersebut membuat aduan berkenaan ketidak terimaan gaji mereka.

Tuntutan Harta Sepencarian

Jika disenaraikan situasi-situasi diberikan di atas, situasi menjadi lebih parah apabila perbalahan suami isteri selaku pemilik bersama perniagaan kekal berlaku sehingga menyebabkan berlakunya perceraian.

Apabila berlakunya perceraian di Mahkamah Syariah, maka timbul hak-hak berbangkit daripada penceraian itu di mana pihak-pihak berhak memfailkan tuntutan harta sepenca­rian di Mahkamah Tinggi Syariah bagi mendapatkan hak.

Dalam konteks tuntutan harta sepencarian, segala saham di syarikat sendirian berhad yang didaftarkan atas nama suami dan isteri tersebut, segala aset semasa dan bukan semasa bagi perniagaan enterprise atau perkongsian turut menjadi subjek kepada tuntutan harta sepencarian di mahkamah.

Malah apabila tuntutan induk harta sepenca­rian difailkan, akan wujud tuntutan sampingan untuk pihak-pihak bercerai tersebut mendapatkan suatu perintah tegahan atau injunksi ke atas syarikat atau perniagaan.

Kesannya, perniagaan syarikat atau enterprise atau perkongsian tersebut tidak dapat beroperasi dengan lancar natijahnya kepada kerugian besar terhadap perniagaan tersebut lebih teruk kepada penutupan syarikat perniagaan atau gulung tikar.

Pemakaian Akta Syarikat 2016 apabila perintah Mahkamah Tinggi Syariah dikeluarkan ke atas syarikat sendirian berhad, maka perintah Mahkamah Syariah tersebut perlu diendorskan di Mahkamah Sivil bagi tujuan injunksi atau pendaftaran saham pasangan bercerai tersebut sekiranya pelupusan induk tuntutan harta sepencarian telah berjaya.

Adapun perintah atau penghakiman Mahkamah Syariah berkenaan, hak pasangan bercerai tersebut adalah penentuan bahagian saham syarikat yang berhak atau bahagian masing-masing dalam konteks harta sepencarian menurut hukum syarak.

Sebagai contoh, pasangan suami isteri menubuhkan syarikat A dengan saham masing masing menurut nisbah 50-50. Jika Mahkamah Syariah menentukan bahawa saham syarikat A yang ditubuhkan oleh pasangan suami isteri tersebut di mana 50 peratus saham daripada jumlah ke­seluruhan nisbah 50 saham milik suami tersebut adalah diberikan kepada isteri, maka si isteri akan mendapat jumlah saham di syarikat A sebanyak nisbah 75, sekali gus suami telah berkurang nisbah sahamnya di syarikat A kepada 25.

Apabila Mahkamah Syariah telah memuktamadkan bahagian nisbah saham antara suami dan isteri di syarikat A tersebut, pihak yang menuntut dalam konteks ini isteri perlu memfailkan tindakan di Mahkamah Sivil bagi tujuan mendapatkan endormen perintah syariah oleh Mahkamah Sivil untuk menguatkuasakan perintah Mahkamah Syariah ke atas syarikat A berdasarkan bidang kuasa yang dinyatakan di atas menurut Perlembagaan Persekutuan.

Bagi pasangan rumah tangga yang berhasrat dan berkehendak untuk menubuhkan perniagaan atau syarikat bersama pasangan dinasihatkan untuk dielakkan daripada meneruskan hasrat tersebut.

Rancang dan tindak merupakan alternatif untuk meminimakan perkara-perkara yang dinyatakan penulis di dalam artikel ini. Sekiranya tidak diperincikan dan dibincang bersama dengan pakar maka bersedialah untuk menghadapi perihal-perihal yang dinyatakan di atas.

Peribahasa sediakan payung sebelum hujan mengajar kita untuk elak situasi sudah terantuk baru terngadah.

MUHAMMAD HARIZ MD YUSOFF ialah Pengamal undang-undang sivil, syariah dan korporat selain Timbalan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN