fbpx
KLOPPING menggunakan cermin mata pintar yang dikuasai oleh AI untuk mendapatkan maklumat peribadi seseorang yang berada di sekitarnya.

K2

Cermin mata AI cam wajah, ‘auto’ tahu butiran peribadi, media sosial orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BIDANG kecerdasan buatan (AI) semakin meluas digunakan dalam pelbagai sektor pada masa kini. Tidak mengira sama ada keselamatan, pendidikan mahupun hiburan, kewujudan teknologi AI memberi impak besar kepada masyarakat, sekali gus menjadi salah satu pencapaian terbesar dalam bidang digital itu. 

Kemampuan pengecaman wajah AI masa nyata dengan kelebihan menganalisis dan mengenali wajah manusia mampu meningkatkan kecekapan dan keselamatan dalam pelbagai bidang. 

Pengecaman wajah AI masa nyata merujuk kepada teknologi yang membolehkan sistem mengenali dan menganalisis wajah individu secara langsung, tanpa perlu menyimpan data dalam pangkalan data. 

Menggunakan algoritma pembelajaran mesin (machine learning) dan pembelajaran mendalam (deep learning), sistem ini mampu menganalisis ciri-ciri unik pada wajah manusia seperti bentuk mata, hidung dan mulut untuk mengenali individu dengan lebih cepat dan secara tepat. 

Setelah data wajah dianalisis, sistem akan menentukan sama ada individu tersebut dikenali atau tidak berdasarkan perbandingan dengan wajah yang tersimpan dalam pangkalan data.

Teknologi itu berfungsi dengan cara menganalisis data daripada gambar atau video dalam tempoh masa yang singkat kerana pengecaman wajah dapat dilakukan secara langsung dalam masa nyata. 

Begitu juga yang dilakukan oleh seorang wartawan Belanda, Alexander Klopping, yang menggunakan cermin mata pintar dikuasai oleh AI. 

KLOPPING menggunakan cermin mata pintar dikuasai oleh AI.

Menerusi satu video eksperimen yang dilakukan pada tahun lalu, difahamkan Klopping memakai cermin mata tersebut dan berjalan-jalan di sekitar bandar Zuidas, Amsterdam bagi menganalisis wajah secara rawak. 

Dipercayai dalam tempoh masa singkat, Klopping berjaya mengesan wajah individu terbabit dan mengenal pasti gambar mereka di semua platform media sosial. 

Dalam video sama, Klopping turut dilihat bertanyakan tentang kesahihan gambar yang diperoleh hasil pengecaman masa nyata. 

Menggunakan cermin mata dengan ciri Pembantu Visual Lanjutan (Eva) yang berfungsi untuk mengenali objek, teks mahupun tanda dan menerangkan secara ringkas mengenai apa yang dilihat. 

“Berbekalkan teknologi AI pada Eva, ia membantu kami untuk membuktikan bahawa betapa mudahnya data dapat diperoleh dengan menggunakan teknologi ini. 

“Hanya dengan pengecaman wajah, terutama dalam kombinasi dengan cermin mata pintar, dalam tempoh beberapa saat sudah cukup untuk mencari nama, butiran peribadi dan pelbagai perkara pelik,” katanya dalam aplikasi X. 

TEKNOLOGI ini berfungsi dengan cara menganalisis data daripada gambar atau video dalam tempoh singkat.

Orang awam dalam video tersebut turut dilihat terkejut apabila mengetahui beberapa maklumat peribadi diajukan kepada mereka oleh Klopping. 

Meskipun video eksperimen tersebut menjadi antara perbualan hangat dalam kalangan pemain teknologi AI, namun ada juga pihak yang mempertikai tentang ketulenan video dan kesahihan teknologi tersebut yang menjangkau kemampuan ChatGPT. 

Walaupun kewujudan diketahui, namun tahap kecanggihan atau ketangkasan pengesanan data masa nyata masih belum dikomersialkan. 

Bagaimanapun, pengecaman wajah AI masa nyata digunakan secara meluas dalam sistem keselamatan untuk memantau dan mengesan individu di tempat awam  seperti lapangan terbang, bangunan kerajaan dan kawasan tumpuan utama. 

Hal ini membolehkan pengawasan yang lebih efisien dan cepat dalam mencegah jenayah dan meningkatkan keselamatan awam.

Begitu juga dengan pengesahan identiti dalam sektor perbankan dan kewangan apabila pengecaman wajah digunakan untuk pengesahan identiti dalam aplikasi mudah alih melibatkan penggantian penggunaan kata laluan atau kad, sekali gus menjadikan transaksi dibuat lebih selamat dan cepat. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN