fbpx
Warna keemasan ikan yang menyerlah dan Hisham bersama kelah hasil mengilatnya di Sungai Sarik Kab, Desa Mangur Nagari Padang Sago, Padang Pariaman, Indonesia.

Golden mahseer Sungai Sarik Kab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Mengapa ikan kelah di serata sungai ini terjaga? Ini disebabkan penduduk di sini menjaga dengan ketat kerana hukum adat dan larangan untuk tidak memusnahkan habitat asli di sungai. Jika dilanggar akan dihukum oleh pihak Nagari (wilayah administratif) atau Ninik Mamak (lembaga adat).

Sebaik sahaja tiba di lokasi, kami disambut oleh penduduk dan ketua kampung. Untuk memancing di sini, kami telah mendapat kebenaran da­ripada ketua kampung iaitu Pak Wali Nagari Januar yang diurus oleh Pak Gading iaitu ketua lawatan berpandu (tour guide) kami di Indonesia.

Ketua dan penduduk kampung mengambil berat menjaga habitat asli sungai dengan sentiasa melakukan pembersihan sungai dan memberi makanan kepada ikan di dalamnya se­perti buah betik (buah ini adalah salah satu sumber yang menjana ekonomi penduduk tempatan) dan ulam-ulaman.

Mereka cuba tidak menggunakan makanan ikan moden supaya sungai tidak tercemar dan mengelak pembaziran hasil tanaman mereka yang tidak dapat dijual atau buah telah buruk.

Sesi pancingan

Tanpa membuang masa untuk mendapatkan spesies target kami iaitu golden mahseer, kami berebut untuk melakukan lontaran gewang pertama.

Nazim yang pertama kena ikan, malangnya terlucut menyebabkan mata kailnya menjadi lurus akibat sambaran ikan saiz besar.

Kawasan ikan bersaiz kasar yang bermain di arus laju.

Dia menggunakan gewang Senses Savior50s Goldfish. Ikan sememangnya tidak gerun melihat kami, walaupun berada rapat di tepi tebing dan airnya amat jernih.

Gewang yang ideal untuk ikan-ikan di sini adalah seberat 5 gram ke atas kerana terdapat juga kawasan dalam dan arusnya laju. Profil gewang juga amat penting, sebaiknya guna anak ikan yang kecil dan boleh berenang melawan arus dengan baik.

Selain itu, gewang jenis blade (bilah besi) daripada Titan Blade dan spoon (sesudu) daripada Huzairy Works juga menjadi di sini.

Kebiasaannya, ikan di sini menyam­bar gewang dari sebalik batu di kawasan berarus. Jadi, tali utama dan perambut perlu menggunakan 20 paun (lb) ke atas supaya dapat menahan geseran struktur berbatu.

Saya menggunakan joran berkekuatan PE0.6-2.0 dan saya dapati ia sudah cukup sesuai untuk menahan kekuatan ikan yang renangannya dibantu oleh arus sungai kuat serta laju.

Teknik untuk memainkan gewang yang saya praktikkan adalah dengan gewang hanyut mengikut arus dan setiap kali ia melepasi batu barulah ia dikarau. Kebanyakan masa ikan akan menyergap gewang sebaik sahaja melepasi batu.

Pancingan VVIP

Trip kami ada kelebihan tersendiri yang ditawarkan oleh Pak Gading dan Ken Zhul yang melayan pelanggannya dengan istimewa. Walaupun kami berpecah, namun setiap daripada kami ditemani sekurang-kurangnya seorang kru atau penduduk kampung (pemandu pancing) untuk membawa beg pancing, kudapan dan air minuman.

Pemandu pancing atau fishing guide juga membantu menaikkan ikan dengan menyauknya, melepaskan gewang tersangkut, mengambil gambar dan merakam video semasa bertarung serta bersama ikan tangkapan

Kami tidak pernah dapat layanan seperti VVIP ketika memancing, dan ini membuatkan kami berasa janggal, maklumlah kami ini pemancing
kampung sahaja. Tetapi bila difikirkan semula, ia adalah untuk keselamatan dan kami ini adalah tetamu mereka.

Sebagai amalan umat Islam, kita semua haruslah melayan sebaik-ba­ik­nya tetamu yang datang menziarah.

Spesies kelah

Menurut Pak Gading, spesies kelah (mahseer) yang boleh ditemui selain golden mahseer adalah red mahseer dan semah hitam.

Namun, bukan rezeki kami pada trip kali ini untuk mendapat spesies yang lain kerana sungai itu didominasi oleh spesies ikan golden mahseer.

Walaupun ikannya banyak, namun untuk mendapatkan saiz yang besar agak sukar kerana ikan saiz kecil selalu menyambar gewang lebih cepat daripada ikan bersaiz gadang.

Kami mencuba kawasan berbatu yang berarus laju untuk mendapatkan ikan bersaiz mega kerana kami yakin ia ada. Ini berdasarkan pengamatan kami dari atas jambatan dan boleh kelihatan ikan dengan saiz dalam 5 kilogram (kg) bermain dalam satu kumpulan.

Namun, kami tidak berhasil merealisasikannya.

Trip memancing kami juga singkat kerana ini merupakan trip pancing sampingan sahaja.

Walaupun sesi memancing kami kurang dari dua jam, namun kami berjaya menaikkan lebih daripada 15 ekor kelah dengan ikan terberat diperolehi oleh Zaki, sekitar 2kg.

Amalan ‘tangkap dan lepas’ di­praktikkan menghormati hukum adat kampung.

Waktu yang sesuai untuk mengilat spesies ikan kelah di sungai ini adalah pada Mei sehingga Julai setiap tahun, kerana hujan yang kurang. Kami pasti akan mengulang lagi trip ke sini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN