Kebanyakan bot-bot pancing ini beroperasi di sekitar Pulau Pangkor, jeti-jeti di pekan Lumut dan beberapa jeti di Bagan Datuk, Perak.
Antara tekong yang pernah saya dapatkan perkhidmatannya ialah Allahyarham Pak Usop Cekodok pada sekitar tahun 1990-an. Kini, tidak pasti siapakah yang menyambung warisan dia di sana?
Kini terdapat bot atau sampan fiber yang memberikan perkhidmatan memancing menggunakan teknik jigging dengan banyaknya. Jigging menjadi teknik kegilaan di Malaysia sejak 15 tahun lalu kerana menampilkan cara lebih efisien dan mudah urus.
Trip mancing
Baru-baru ini, kami menggunakan perkhidmatan tekong Pak Anuar dan Ruzaidi Adi dari Pulau Pangkor. Bot kayunya dapat memuatkan lapan hingga 10 orang pemancing. Terdapat kabin untuk tidur, dapur dan tandas yang merupakan kemudahan asas wajib ada pada setiap bot memancing jika anda ingin memancing seharian atau lebih dari 24 jam.
Bot ini juga menyediakan geladak yang bersih serta selamat dengan birai tinggi, serta lantai lapang untuk kemudahan pemancing meletakkan peralatan memancing dan aksesori lain dengan kemas, selain ruang rehat santai sambil menikmati suasana laut.
Perjalanan kami ke lokasi sembilan buah pulau di perairan Lumut tidak mengambil masa panjang. Hanya satu jam setengah, kami sudah pun berlabuh berhampiran kapal-kapal dagang yang berjangkar di luar pesisiran pantai dengan air sedalam 50 hingga 70 meter (m).
Terdapat berbelas-belas buah kapal dagang berlabuh sementara di sini. Kapal-kapal ini akan memulakan perjalanan ke perairan antarabangsa sesudah dokumen perjalanan mereka siap.
Satu demi satu lokasi kapal dagang ini kami singgah mencari ikan-ikan kecil untuk dibuat umpan dan lauk. Teknik yang digunakan adalah perambut sabiki atau lebih dikenali umum dalam kalangan pemancing Malaysia sebagai apollo.

Ia dimainkan dengan melontarkannya ke arah badan kapal dan membiarkan perambut tenggelam ke dasar laut. Kemudian, ia akan dihenjut dengan pelbagai cara sehinggalah ada ikan yang sudi menyergapnya. Antara ikan yang memakan perambut sabiki ini adalah selar kuning dan cencaru bersaiz sederhana.
Cencaru kuda yang bersaiz kasar masih belum dapat diperoleh pada waktu ini.
Pancing dasar
Dua jam di lokasi kapal dagang, ikan mula berkurangan memakan perambut sabiki. Perjalanan kami diteruskan ke lokasi pancingan dasar yang lain. Cuaca yang semakin terik menjadikan kami semakin bersemangat untuk mencuba pancingan dasar dengan pelbagai jenis umpan yang dibawa.
Antara umpan yang dibawa kali ini adalah udang hidup, sotong kurita (boleh dibeli di kedai pancing di Lumut) serta ikan kembung dan udang mati yang kami beli di pasar di Pangkor pada awal pagi.
Satu demi satu pancing direntap kasar oleh ikan di ‘perut’ laut Pulau Sembilan. Ada juga yang tak naik dek kerana kegagalan ahli pancing menggunakan alatan berkualiti tinggi. Ada snap swivel yang terkangkang, mata kail patah dan tali perambut putus kerana gagal mengekang renangan ikan bersaiz kasar.
Kerapu, gerut-gerut, jenahak, alu-alu, gerong belang merupakan antara ikan yang lazim dinaikkan di perairan Pulau Sembilan ini. Terdapat juga kehadiran spesies ikan garang dengan renangannya yang padu, ia mampu meningkatkan adrenalin si pemancing seperti tenggiri, gerepoh (GT), haruan tasik, pari dan pelbagai lagi.
Umpan bilis
Pada sebelah petangnya, acara pancingan dasar dimeriahkan lagi dengan tekong menabur ‘rasuah’ ikan bilis yang kami dapatkan daripada bot pukat bilis baru pulang dari laut dalam.
Umpan bilis ini sangat berkesan menarik pelbagai spesies ikan dasar seperti jenahak dan kerapu.
Pada masa sama, spesies ikan di pertengahan air seperti cencaru kuda dan gerong belang juga mula ‘ramah’ memakan umpan dengan berselera.
Aktiviti lain adalah memainkan gewang dan mengunjung kepingan besi (jigging). Antara jenis gewang yang menjadi pilihan adalah gewang selaman berbentuk ikan dan soft plastic.
Mengewang dan jigging di kawasan berbatu serta karang yang banyak terdapat di sekitar pulau-pulau di sini menghasilkan ikan gerepoh kecil serta kerapu.
Aktiviti ini sesuai sepanjang hari hingga ke awal malam.
Pancingan di Pulau Sembilan ini boleh dikatakan antara lokasi pancing yang masih bertahan dengan hasil baik sejak dahulu lagi.
Ditambah lagi dengan harga perkhidmatan memancing dan bot-bot yang masih lagi relevan, ia sememangnya satu destinasi yang wajib pergi oleh semua pemancing di negara ini.














