fbpx
Gambar hiasan.

Pasangan masih bersama sebab tak faham taklik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Mencipta taklik tambahan tanpa pemahaman betul boleh membawa kesan negatif terhadap kestabilan rumah tangga dan kedudukan sebagai pasangan suami isteri.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, taklik adalah satu penyataan suami yang mengaitkan jatuh­nya talak dengan sesuatu syarat atau peristiwa yang akan berlaku.

Menurutnya, trend mencipta taklik sendiri untuk ‘menguji kepercayaan pasangan’ adalah satu perkembangan membimbangkan kerana ia membawa implikasi serius dalam rumah tangga.

“Dalam hukum syarak, taklik talak adalah sah sekiranya memenuhi rukun dan syarat talak. Jika syarat yang disebut oleh suami berlaku, maka talak akan jatuh secara automatik,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Katanya, perkahwinan dibina atas asas kasih sayang, kepercayaan dan tanggungjawab, namun mencipta taklik yang bersifat ugutan juga boleh me­rosakkan kepercayaan dalam hubungan suami isteri.

“Islam menekankan perbincangan dan penyelesaian masalah secara berhikmah bukan melalui ancaman talak.

“Selain itu, jika taklik dibuat tanpa kefahaman, pasangan mungkin tidak sedar bahawa talak telah jatuh. Ini boleh menyebabkan mereka terus tinggal bersama dalam keadaan tidak sah di sisi syarak,” katanya.

Justeru katanya, suami isteri perlu memahami taklik yang sah sudah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam untuk melindungi hak pasangan terutama si isteri.

“Oleh itu, tidak perlu menambah taklik yang tidak munasabah. Jika pasangan mempunyai isu kepercayaan, mereka hendaklah mencari penyelesaian melalui komunikasi, kaunseling atau nasihat agama, bukan melalui ancaman talak.

“Jika seseorang ingin me­netapkan syarat tertentu dalam perkahwinan, lebih baik ia dibuat dalam bentuk perjanjian bertulis dengan saksi dan bukan sebagai taklik talak.

“Sewajarnya, pasangan me­ngelak taklik bersifat ugutan atau tidak perlu, serta mengamalkan perbincangan dan kaedah penyelesaian yang lebih matang dalam perkahwinan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN