fbpx
KEBANYAKAN golongan remaja pada hari ini mengalami ketagihan gajet melampau. – Gambar hiasan

K2

Mencari remaja di bawah naungan Arasy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEORANG remaja perempuan mampu menaikkan aras air dari dasar perigi dengan ludahnya. Sebelum itu, air perigi itu telah hampir kering. Syeikh Jazuli mengambil wuduk daripada air perigi itu dan bertanyakan apakah amalan yang memperlihatkan ‘keramah’ tersebut kepadanya? Remaja berkenaan menjelaskan kepadanya bahawa perbanyakkan selawat kepada Rasulullah SAW. Kisah ini sebahagian kisah hebat remaja yang memiliki peluang lebih besar untuk jadi manusia luar biasa. 

Satu minit menonton TikTok atau bermain game tidak sama manfaat dan nilainya dengan satu minit mengingati Allah SWT. Melayani media sosial adalah keperluan tersendiri dalam kehidupan remaja, tetapi perlu diseimbangkan agar semua aktiviti saling bekerjasama dalam pembinaan keperibadian remaja. 

Fenomena ‘drug digital’ adalah satu ancaman besar kepada masa depan remaja.  Kajian Proxyrak mendedahkan bahawa rakyat Malaysia menduduki tempat kedua dalam aspek ketagihan peranti dengan skor 8.7 di belakang Emiriyah Arab Bersatu (UAE). 

Mereka menghabiskan tujuh ke lapan jam sehari. Rata-rata mengatakan tidak dapat hidup tanpa peranti pintar. 

Adalah sukar di zaman kecerdasan buatan (AI) ini mencari calon-calon remaja yang dinaungi Arasy di Padang Mahsyar yang akan bersama dengan pemimpin adil, peniaga yang jujur, lelaki menjauhi zina meskipun digoda wanita cantik, dua Muslim bersaudara kerana Allah, seorang yang hatinya bergantung dengan masjid dan seorang bersedekah secara rahsia.

Ketagihan peranti menyebabkan sebahagian besar remaja tiada masa untuk solat, apatah lagi memperuntukkan beberapa minit untuk berzikir. 

Solat dan zikir tiada apa-apa makna signifikan bagi kehidupan semasa baginya kecuali ritual kuno atau sesuai untuk masa tua nanti. Padahal, dia belum mencubanya dengan sungguh-sungguh, tetapi membuat keputusan awal berdasarkan emosi. 

Perkataan Subhanallah sangatlah ringan, ditutur dengan empat suku kata sahaja dan mengambil masa satu saat sahaja. Subhanallah bermaksud Maha Suci Allah yang mengandungi nilai-nilai cocok dengan keperluan jasmani dan rohani manusia. 

60 saat sudah memadai untuk 100 kali zikirnya dan layak untuk dipertimbangkan pahala yang menyamai 100 ekor unta berumur lima tahun. 

Bayangkan, dalam masa satu minit, seseorang berpeluang meraih keuntungan lebih kurang RM500,000. Mungkin sebahagian remaja tidak memahami maksud zikirnya, lantas mengambil sikap mudah dengan meninggalkan zikir. 

Memahami maksud zikir atau tidak, bukanlah penghalang untuk meringankan lidah mengucapkannya. Sebenarnya, orang dewasa dan orang agama juga menghadapi masalah dalam menghayati zikir disebabkan kenikmatan zikir perlu melalui proses pemahaman, amalan dan kesedaran. 

Jika faham maksud zikir, tetapi akan datang pula ujian kedua iaitu kelalaian ketika berzikir dengan kesibukan dunia. 

Atas sebab demikian, Imam al-Ghazali membahagikan tingkat zikir kepada empat tingkat; zikir syariat, zikir tariqat, zikir hakikat dan zikir makrifah. Justeru, sesiapa yang berzikir tetap mendapat pahalanya apabila betul sebutannya walaupun tidak memahami maksudnya. 

Betapa mudahnya mengingati Allah yang mampu dilakukan oleh sesiapa sahaja kerana tidak memerlukan syarat-syarat kompleks. Imam al-Nawawi menyebut bahawa zikir boleh dilakukan sama ada secara lisan atau hati, orang berjunub, perempuan haid dan nifas. 

Malah, zikir boleh dilakukan sama ada duduk, berdiri, berbaring, berjalan, bekerja dan sebagainya. Pendeknya zikir buat semua orang dan semua keadaan.

Tidak bermaksud remaja perlu dua empat jam berzikir, tetapi alangkah kerugian dalam sehari semalam tidak diperuntukkan walau satu minit untuk zikir. Zikir paling mudah dan cepat seperti Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar, Astaghfirullah dan selawat adalah mencukupi sebagai permulaan. Jika digabungkan lima zikir tersebut, setiap satunya 100 kali, nescaya anda telah memulakan suatu langkah yang  luar biasa.

Lidah manusia yang selalu ‘basah’ dengan zikirullah pasti mengalami perasaan hidup sungguh tenang dan bahagia. 

Sesiapa yang memiliki pengalaman ini tentu sentiasa ketagihan zikir kerana kenikmatan dan faedahnya tidak terhitung dan pertolongan Tuhan hadir tanpa diduga. 

Rumah yang sempit dirasakan lapang, hati yang gusar menjadi tenang, ujian menimpa disambut reda dan limpahan rezeki mampu disyukuri. 

Sedikit atau banyak, susah atau senang ia tetap reda dan tenang. Dalam setiap sudut hidup, jiwanya melihat dan merasai keagungan Tuhan.

Malik bin Dinar berkata bahawa jika manusia mengetahui kemewahan rohani orang-orang soleh nescaya mereka sanggup meletakkan pedang di leher orang-orang soleh untuk merampas kebahagiaan itu. 

Remaja hari ini akan menghadapi dunia yang semakin mencabar, bahkan menjangkau pemikiran. Mereka perlu menyiapkan ketahanan dalaman tiga kali ganda daripada cabaran luaran. 

Zikir adalah solusi paling ampun untuk merawat permasalahan hidup seperti kerjaya, inflasi, fitnah, muflis, penceraian dan kemalangan. Allah berjanji memberikan ketenangan jiwa dan kebijaksanaan kepada orang yang sentiasa mengingati-Nya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN