SEBAGAI umat Islam, kita pastinya menanam keinginan untuk sentiasa meningkatkan kefahaman serta kemahiran membaca dan menghafaz al-Quran dengan baik.
Bagi seorang wanita kelahiran Johor Bahru, Johor, peluang mengukuhkan hafazan dan taranum menjadi minat utamanya sejak kecil. Dia menyifatkan aktiviti itu kini sudah menjadi hobinya.
Pantang ada masa terluang, Nor Azlina Ibrahim, 25, akan memanfaatkan waktu tersebut dengan mengaji al-Quran dan memperbaiki bacaannya.
Berkongsi dengan K-Remaja, Nor Azlina memberitahu, minatnya dalam bidang pengajian al-Quran timbul sejak berusia sembilan tahun dan ia dicetuskan oleh gurunya.
“Saya mula berminat dalam bidang pengajian al-Quran selepas seorang guru taranum mendengar bacaan al-Quran saya. Dia mendorong saya untuk menyertai pertandingan hafazan di pelbagai peringkat.
“Boleh dikatakan, dia yang telah mencetuskan minat saya terhadap bidang ini sehingga sebati dalam diri dan menjadi hobi sehingga kini,” katanya.
Nor Azlina yang juga merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah) di Universiti Sultan Zainal Abidin berkata, hobi itu membolehkannya kini bertugas sebagai tenaga pengajar separuh masa di sebuah pusat pengajian al-Quran di Selangor.
“Saya bekerja di situ sambil menyambung pengajian ke peringkat sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” ujarnya.

Bagi Nor Azlina, tawaran untuk menjadi tenaga pengajar itu diterimanya dengan senang hati, dek minat yang mendalam terhadap pengajian al-Quran.
“Pada sebelah siang, saya akan meluangkan waktu untuk menelaah pelajaran, manakala pada sebelah malam, saya mengadakan kelas mengaji yang dikendalikan secara online dan bersemuka,” katanya.
Berkongsi pendapat berkenaan hobi itu, Nor Azlina memberitahu, minatnya dalam pengajian al-Quran tidak datang secara automatik.
Katanya, apa-apa sahaja minat perlu dicetuskan oleh seseorang sama ada ahli keluarga, guru atau rakan-rakan.
“Dalam kes saya, guru mengaji saya sewaktu di sekolah rendah adalah individu yang memulakan minat saya terhadap bidang pengajian al-Quran.
“Ibaratnya, beliau telah memulakan hobi ini dan ia seterusnya disambung oleh saya,” katanya.

Menurut gadis itu, fokus utamanya dalam pengajian al-Quran adalah untuk memperbaiki bacaan serta menghayati makna setiap ayat yang dibaca.
“Saya berpegang kepada satu prinsip, ‘saya mahu hidup tenang’.
“Kehidupan yang tenang adalah dengan sentiasa mengingati Allah SWT dan berusaha mencari reda-Nya.
“Oleh itu, saya memilih menjadikan aktiviti kerohanian ini untuk memenuhi masa terluang,” kongsinya.
Selain bacaan, Nor Azlina berkata, dia kini turut mencuri masa dengan mendalami bidang pendidikan Islam, khususnya dakwah yang merupakan salah satu hobi baharunya.
“Bagi bidang pendidikan ini, saya mendapat pendedahan mengenainya daripada penyelia pengajian saya di UKM.
“Dia berjaya memupuk minat saya untuk menambah ilmu pengajian Islam,” katanya mengakhiri bicara.














