PETALING JAYA – Perkhidmatan bride assistant atau pembantu pengantin semakin popular dalam industri perkahwinan hari ini hingga boleh menjana pendapatan sampingan lumayan.
Sakina Omar, 29, berkata, dia mula menjadi pembantu pengantin sejak Oktober lalu dengan membantu kawan dan ahli keluarga sebelum perkhidmatannya tersebar kepada pasangan pengantin lain.
Katanya, kerjaya itu diinspirasikan melalui filem romantik komedi The Wedding Planner lakonan Jennifer Lopez.
“Ia satu kerjaya yang seronok dan memuaskan kerana saya lebih selesa bekerja sebagai kru belakang tabir dalam bidang perkahwinan.
“Hasil kerja saya disebarkan melalui WhatsApp dan TikTok apabila video dikongsi oleh pengantin. Saya tidak malu atau janggal walaupun ada yang menganggapnya pekerjaan remeh,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Menurut Sakina, dia mengenakan bayaran antara RM250 hingga RM400 mengikut keperluan majlis.
“Buat masa ini, saya melaksanakannya secara sambilan, namun saya juga bercita-cita untuk menjadikannya sebagai karier tetap kerana potensinya sangat luas,” tambahnya.
Bagi eksekutif pemasaran, Nur Ain, 25, dia menjadi pembantu pengantin untuk membeli komputer riba untuk dihadiahkan kepada adiknya yang berjaya melanjutkan pelajaran ke sebuah institusi pengajian.
“Bermula dengan kerja sampingan, saya makin dikenali dan ramai mula bertanya. Ia membuatkan saya lebih bersemangat.
“Ia satu peluang kerjaya kerana perkahwinan merupakan acara penting dalam kehidupan dan pengantin sanggup melabur untuk kelancaran majlis mereka,” katanya yang mengenakan caj RM250 tidak termasuk pengangkutan.
Menurut Nur Ain, dia akan pastikan pengantin sentiasa selesa dan terjaga daripada segi pakaian, solekan dan keadaan fizikal.
“Jika cuaca panas, saya payungkan pengantin, kipaskan, beli air dan memastikan dia sentiasa kelihatan sempurna dalam gambar,” katanya.
Nur Ain melihat kerjaya bride assistant bukan sekadar sumber pendapatan sampingan, tetapi satu peranan yang memberi kepuasan apabila dapat membantu pengantin menikmati hari bahagia mereka tanpa tekanan.
“Selagi ia memberi manfaat kepada orang lain, saya tidak pernah merasa malu atau janggal, malah berbangga kerana dapat membantu pengantin menikmati hari bahagia mereka dengan lebih tenang,” tambahnya.
Dengan permintaan yang semakin meningkat, tidak mustahil kerjaya baharu itu berpotensi menjadi pekerjaan profesional.














