fbpx
PASUKAN lelaki mencatat sejarah dengan merangkul kejuaraan dunia berpasukan baru-baru ini.

Malaysia kini ‘gergasi’ sukan boling

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ARENA boling negara mencatat sejarah baharu dengan pencapaian luar biasa sepanjang beberapa bulan kebelakangan ini, sekali gus menandakan kebangkitan Malaysia sebagai antara kuasa besar dunia.

Pada September lalu, skuad boling negara mempamerkan prestasi cemerlang dengan membawa pulang 17 pingat keseluruhan iaitu 8 emas, 5 perak dan 4 gangsa dalam Kejohanan Tenpin oling sia (ATBC), menjadikannya pencapaian terbaik Malaysia di pentas dunia.

Dominasi skuad negara berterusan dalam Piala Dunia IBF di mana kesemua lapan atlet negara yang berentap berjaya membawa pulang pingat.

Kejayaan itu termasuk yang dirai Natasha Roslan yang penantian 53 tahun negara untuk merangkul kejuaraan dunia dalam kategori perseorangan wanita, selain skuad wanita yang meraih pingat perak dalam acara berpasukan.

Lebih manis, skuad lelaki mencatat sejarah dengan merangkul kejuaraan dunia berpasukan lelaki, manakala jaguh negara, Rafiq Ismail dinobatkan sebagai pemain nombor dua terbaik dunia dalam kategori perseorangan lelaki.

Bagi Natasha, kejayaan itu membuktikan Malaysia berada di landasan terbaik untuk terus mencipta kegemilangan dengan juara dunia berusia 28 tahun itu menekankan pentingnya melatih pelapis untuk memastikan legasi sukan berterusan.

“Pada pandangan saya, masa depan boling Malaysia sangat cerah. Banyak pelapis berbakat sedang meningkat naik, dan saya sangat teruja melihat perkembangan sukan ini,” katanya.

Natasha turut menyifatkan program pembangunan boling negara sebagai salah satu program terbaik di dunia.

“Malaysia ada program boling bertaraf dunia. Ia benar-benar kelas dunia,” katanya kepada Kosmo!.

Jaguh boling lelaki negara, Rafiq Ismail turut mengakui perkembangan boling Malaysia kini berada di tahap terbaik dalam sejarah negara, malah setanding dengan negara serantau Asia dan dunia.

“Boling di Malaysia sekarang berada di tahap yang paling bagus. Ramai pemain muda berbakat mula menceburi sukan ini, mungkin kerana inspirasi daripada kami yang mencipta banyak kejayaan,” katanya.

Bagaimanapun, Rafiq menekankan kepentingan memberi lebih banyak pendedahan kepada pelapis muda untuk memastikan kesinambungan kejayaan skuad negara.

“Cara untuk mengekalkan legasi ini ialah dengan membawa pelapis dan pasukan senior ke lebih banyak kejohanan bersama. Mereka perlu meraih pengalaman dan belajar daripada pemain senior,” katanya.

Menurut Rafiq, potensi pemain muda Malaysia sangat besar dan dengan lebih banyak pendedahan dan bimbingan menerusi kejohanan besar, tidak mustahil Malaysia akan terus mendominasi arena boling dunia.

Dengan pencapaian terkini dan sistem pembangunan yang mantap, boling Malaysia kini bersedia melakar lebih banyak sejarah dan harapan kini tertumpu kepada pelapis yang bakal menjadi tunjang kejayaan negara di masa depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN